Oleh Erdie Ab Wahid
Kota Kinabalu: Seramai lebih 2,800 peserta daripada 78 kontinjen mengambil bahagian dalam acara perbarisan sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Yang ke-74 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Padang Merdeka di sini pagi tadi.
Acara perbarisan bermula jam 7.05 pagi itu membabitkan penyertaan daripada kategori jabatan Kerajaan tidak berpakaian seragam rasmi; agensi swasta; pertubuhan bukan Kerajaan; sekolah termasuk institut pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta.
Acara bermula dengan Yang di-Pertua Negeri menerima Tabik Hormat Diraja daripada Pasukan Kawalan Kehormatan Utama (KKU), disusuli Lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku sebelum tembakan meriam 17 das.

Tun Musa kemudian memeriksa perbarisan pasukan kontinjen yang mengambil bahagian dengan diiringi Panglima 5 Divisyen Mejar Jeneral Dato’ Noorrul Azril Ariffin.
Turut diadakan ialah persembahan khas daripada Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS).
Hadir sama isteri Tun Musa; Toh Puan Faridah Tussin; Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri Datin Seri Juliah Salag dan Timbalan-Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan; Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dan Datuk Ir Shahelmey Yahya.
Selepas acara perbarisan itu, berlangsung majlis Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran di Istana Negeri dan Majlis Makan Malam oleh kerajaan negeri di Dewan Bankuasi Menara Kinabalu, malam ini.
Aktiviti lain yang diadakan ialah Majlis Jamuan Teh Bersama Kanak-Kanak Istimewa dan Anak Yatim; Majlis Hari Etnik Sabah dan Majlis Tahlil, Doa Selamat dan Solat Hajat.
Terdahulu, lebih 10,000 masyarakat setempat dari pelbagai daerah di negeri ini hadir memeriahkan istiadat perbarisan itu di sini. – SABAH MEDIA