Kota Kinabalu : Penganjuran ASEAN Travel Exchange 2025 (ATEX 2025) dicadang untuk dijadikan sebagai acara tahunan dalam usaha memperkukuh hubungan pelancongan serantau.
Cadangan itu disuarakan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah ketika berucap pada Majlis Makan Malam Mesra sempena ATEX 2025 yang dihadiri lebih 500 delegasi dari 15 negara di sini baru-baru ini.
Katanya, penganjuran acara seperti ini sangat berpotensi dalam merangsang pertukaran pelancongan dan kebudayaan.
“Selain itu ia dapat mengukuhkan jaringan kerjasama serta hubungan mesra dalam kalangan negara anggota ASEAN,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menggesa Presiden Persekutuan Persatuan Pelancongan ASEAN (FATA), Datuk Tan Kok Liang yang turut hadir, agar meneliti dan mempertimbangkan cadangan itu untuk dijadikan realiti.
Christina berkata, bagi merancakkan pertumbuhan sektor pelancongan serantau, sudah tiba masanya negara-negara anggota ASEAN mengadakan lebih banyak lawatan timbal balik dan meneroka peluang baharu dalam bentuk produk dan pengalaman pelancongan yang menarik.
“Jika ini kali pertama anda datang ke Sabah, saya galakkan anda untuk mengambil peluang meneroka keindahan negeri ini.
“Dari Gunung Kinabalu yang menjadi simbol kekuatan dan perpaduan, hinggalah pasar-pasar yang meriah serta pulau-pulau yang mempesona, Sabah bukan sahaja cantik tetapi penuh dengan pengalaman yang tidak dapat dilupakan,” katanya.
Beliau berkata, selaku Pengerusi ASEAN pada tahun ini, Malaysia berbangga dengan penganjuran ATEX 2025 yang jelas menunjukkan kekuatan sebenar ASEAN terletak pada semangat perpaduan rakyat dan matlamat yang dikongsi bersama.
“Majlis makan malam ini bukan sekadar meraikan permulaan ATEX 2025, malah menjadi simbol permulaan satu tradisi baharu yang menyatukan ASEAN menerusi pelancongan,” katanya.
ATEX 2025 dianjurkan secara bersama oleh ASEAN Tourism Association (ASEANTA), Federation of ASEAN Travel Associations (FATA), dan Malaysian Association of Tour and Travel Agents (MATTA), dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS), Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Biro Konvensyen Sabah (SCB) dan Tourism Malaysia.
Turut menjadi rakan strategik adalah syarikat penerbangan AirAsia dan Jetama Water.
Antara negara yang mengambil bahagian termasuk Brunei, Kemboja, Indonesia, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam, China, India, Nepal, Oman, Pakistan dan Korea Selatan.