Tuaran : Sebanyak 32 pasukan veteran dari seluruh Sabah termasuk dari luar negeri dijangka akan menyertai Kejohanan Bola Sepak Veteran BKFC – JETAMA Water 2025.
Kejohanan yang diadakan selama dua hari bermula 19 Julai itu akan berlangsung di empat buah padang terpilih di daerah ini.
Antaranya Padang RELA; Padang Pertanian; Padang Selupuh dan Padang Tamparuli.
Pengerusi Penganjur Aslie @ Musli Separ berkata, kejohanan yang mempamerkan aksi yang penuh semangat itu bukan sahaja memupuk kesedaran kesihatan dalam kalangan pemain veteran, tetapi juga mengukuhkan silaturahim sesama pasukan dan pemain.
Katanya, kejohanan itu sekaligus menjanjikan persaingan sengit yang padat dengan semangat kesukanan dan kekeluargaan.

“Dengan tajaan utama daripada Syarikat JETAMA, kejohanan ini menawarkan jumlah hadiah wang tunai yang berjumlah RM25,000 bagi johan;’RM15,000 (naib johan) dan RM8,000 masing-masing bagi tempat ketiga dan keempat.
“Turut dipertandingkan, Piala Khas bagi menghargai bakat individu dan pengurusan pasukan iaitu empat Pemain Terbaik (Suku Akhir); Penjaga Gol Terbaik (Akhir Pemain Terbaik (Akhir); Penjaring Terbanyak; Pengurus Terbaik dan Pasukan Terbaik,” katanya.
Menurutnya, sehingga kini sebanyak 28 pasukan telah membuat tempahan awal dan menunjukkan komitmen tinggi untuk menyertai kejohanan sulung ini.
“Kita turut menzahirkan penghargaan kepada Syarikat JETAMA atas tajaan dan sokongan padu dalam menjayakan kejohanan yang dijangka menjadi acara tahunan berprestij di daerah Tuaran ini.
“Pasukan yang berminat digalakkan segera menghubungi urus setia kejohanan untuk pendaftaran,” katanya. – SABAH MEDIA