Membakut : Penganjuran Nadwah Sastera Islam Serantau Sabah di negeri ini dilihat penting dalam usaha bagi membina jambatan kefahaman antara nilai Islam dan masyarakat pelbaga kaum.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, Sabah sangat kaya dengan kepelbagaian budaya dan bahasa.
“Sastera Islam yang inklusif, menyentuh kemanusiaan sejagat dan tidak bersifat eksklusif agama semata-mata, inilah sastera yang mampu menembusi sempadan dan menyuburkan kedamaian.

“Saya yakin, melalui perkongsian ilmu, perbincangan kritis dan penghasilan karya dalam nadwah ini, kita akan dapat menyuburkan lagi bidang persuratan Islam di Sabah khususnya, dan Malaysia amnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Nadwah Sastera Islam Serantau Sabah di Dewan Seri Wawasan Kampung Pimping di sini pada Jumaat.
Arifin berkata, beliau turut menggesa ara semua pihak bersama-sama mengangkat dan memperkasa persuratan Islam sebagai medan membina jiwa rabbani dalam kalangan umat.
“Ini agar dunia tidak hanya disinari cahaya teknologi, tetapi juga diterangi nur hidayah, nur ilmu, dan nur kemanusiaan,” katanya.
Sementara itu, sebanyak lima buah makalah dibentangkan pada hari ini, iaitu dua makalah dibentangkan oleh dua pemakalah dari Sabah, Malaysia, tiga makalah masing-masing dibentangkan oleh pemakalah dari negara Brunei Darussalam, Indonesia dan Thailand.
Arifin berkata, pihaknya yakin, selain memupuk pemahaman terhadap karya sastera yang berkualiti, perkongsian para ilmuwan dalam program itu berupaya memberikan sumbangan yang besar dalam mewujudkan masyarakat yang berbudaya tinggi.
“Nadwah ini juga mampu memperkasakan budaya penyelidikan sebagai teras perkembangan bidang bahasa dan persuratan dalam kalangan masyarakat. Saya amat berharap program seumpama ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya.
Terdahulu, program itu dianjurkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah dengan kerjasama khususnya, yang didukung oleh Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-tugas Khas), Majlis Ugama Islam Negeri Sabah (MUIS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS). – SABAH MEDIA