HomeUtamaIndustri kerang Sabah lonjak pendapatan komuniti dan akuakultur moden

Industri kerang Sabah lonjak pendapatan komuniti dan akuakultur moden

Read Time:2 Minute, 23 Second

Tuaran: Projek Pembangunan Sumber dan Industri Kerang Sabah berpotensi untuk menjana pendapatan tahunan sebanyak RM34.4 juta, berdasarkan anggaran pendaratan sebanyak 3,240 metrik tan setahun dan pulangan pelaburan sebanyak 7.6 kali ganda.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata projek ini akan membuka peluang eksport baharu bagi hasil kerang Sabah melalui aktiviti hiliran seperti pengetinan, sambal kerang dan produk makanan berasaskan kerang darah.

“Bagi sektor swasta, inilah masa terbaik untuk melabur dalam pemprosesan hasil laut, pembungkusan lestari dan pembinaan rantaian eksport Sabah. Peluang ini bukan sahaja menguntungkan, malah membina masa depan yang mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan projek tersebut di Borneo Beach and Mangrove Resort, di sini pada Sabtu.

Hajiji berkata, Projek Pembangunan Industri dan Sumber Kerang Sabah adalah selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan Ekonomi Biru menjadi landasan ekonomi yang kukuh untuk rakyat negeri ini.

Menurutnya, Kerajaan Sabah komited untuk mengorak langkah dalam penerokaan khazanah laut dan maritim sebagai sebahagian daripada usaha mengukuhkan kedudukan negeri ini dalam penerokaan Ekonomi Biru di peringkat antarabangsa.

”Ekonomi Biru bukan saja berupaya menseimbangkan kemakmuran dengan kelestarian, malah menjelang tahun 2030, nilai ekonomi biru global dijangka mencapai USD3 trilion,” katanya.

Projek Pembangunan Industri dan Sumber Kerang Sabah ini merupakan kerjasama antara Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA), Jabatan Perikanan Malaysia dan Jabatan Perikanan Sabah, dan dilaksanakan dalam dua fasa.

Fasa pertama yang telah pun selesai melibatkan kajian pemetaan dan eksplorasi sumber kerang darah (Tegillarca granosa) dari Oktober 2024 hingga Mei 2025 di enam lokasi berpotensi, termasuk Tuaran dan Beluran yang menjadi tapak projek rintis.

Fasa kedua dijadualkan bermula pada tahun 2026, melibatkan pemindahan teknologi dan pelaksanaan sebenar projek di lapangan.

Hajiji berkata sebanyak 77 lot penternakan telah dikenal pasti, merangkumi 12 lot di Tuaran  dan 65 lot di Beluran, meliputi kawasan seluas 1,617 hektar.

Katanya, setiap lot akan diusahakan oleh 10 Ketua Isi Rumah (KIR), menjadikan jumlah keseluruhan seramai 770 KIR sebagai penerima manfaat utama, terdiri daripada pengusaha perikanan, komuniti luar bandar dan golongan B40.

“Malah, jika hanya 40 peratus daripada lot ini beroperasi secara optimum, peserta masih mampu menjana pendapatan bulanan sekitar RM4,800 hingga RM6,500.

“Sudah tentu komuniti yang terlibat akan memperoleh pendapatan mampan melalui ternakan kerang darah. Golongan belia juga akan dilatih dengan kemahiran akuakultur moden, melahirkan generasi baharu usahawan laut Sabah.

“Sesungguhnya, projek ini bukan sahaja membawa perubahan besar kepada rakyat, khususnya komuniti yang terlibat, tetapi juga kepada alam sekitar dan ekonomi negeri. Sabah akan dibangunkan sebagai Hab Makanan Laut Biru ASEAN, setanding dengan negeri-negeri pengeluar utama seperti Perak, Pulau Pinang dan Selangor,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri komited sepenuhnya untuk menyokong industri ini dan mahu para peserta projek mendapat latihan berterusan serta teknologi moden.

“Saya menyeru kepada komuniti di Tuaran dan Beluran, sebagai perintis atau peneraju projek ini, agar manfaatkan sepenuhnya teknologi moden yang diperolehi untuk meningkatkan keupayaan dan produktiviti sektor akuakultur,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

578 ladang di Sabah terima pensijilan myGAP, 34 ladang terima pensijilan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular