Kota Kinabalu : Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menggesa kepada semua pemilik dan pengusaha premis makanan agar terus memberi kerjasama penuh khususnya dalam mematuhi piawaian keselamatan makanan.
Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, penekanan kepada aspek keselamatan makanan amat penting dan tidak boleh dikompromi.

Katanya, ia bukan sahaja melibatkan kesihatan individu namun turut melibatkan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.
“Oleh itu, semua pengusaha makanan perlu mengambil langkah proaktif untuk sentiasa meningkatkan standard kebersihan premis mereka.
“Amalan kebersihan yang tinggi dan pekerja yang terlatih akan mengurangkan risiko pencemaran silang dan seterusnya meningkatkan tahap kesihatan awam di bandaraya ini.
“Kita mesti melihat kebersihan sebagai satu pelaburan jangka panjang kepada reputasi dan kelangsungan perniagaan, bukan sebagai beban kos semata-mata,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu 2025 di sini pada Sabtu.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Datuk Sr Lifred Wong.
Sabin berkata, DBKK turut melaksanakan beberapa strategi khususnya dalam usaha untuk meningkatkan tahap kebersihan premis makanan.
Katanya, ini termasuklah melaksanakan pemantauan rapi secara berterusan melalui pemeriksaan berkala oleh pegawai kesihatan persekitaran bagi memastikan pematuhan terhadap piawaian kebersihan yang ditetapkan.
“Selain itu, DBKK turut membuat penambahbaikan bagi memantapkan tahap kebersihan premis makanan dengan menambah syarat lesen premis makanan, yang mana bermula 1 Julai 2025, premis makanan haruslah mencapai markah penggredan kebersihan sekurang-kurangnya 60 peratus ke atas.
“Selain itu menjalankan kawalan makhluk perosak (pest control) sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh enam bulan, memastikan premis makanan bebas daripada urungan Lipas, Lalat dan Tikus serta mengekalkan tahap kebersihan tandas premis makanan selaras dengan standard yang ditetapkan oleh DBKK iaitu bertaraf tandas BMW (Bersih,Menawan, Wangi) atau 4 Bintang dan ke atas,” katanya.
Menurutnya, menerusi pelaksanaan tambahan syarat lesen itu, DBKK akan mengeluarkan surat pemakluman kepada semua premis makanan dan akan memberikan panduan serta bimbingan kepada para pengusaha premis makanan untuk mencapai tahap kebersihan premis dan tandas yang ditetapkan.
Katanya, penguatkuasaan syarat-syarat tambahan lesen premis makanan ini akan dibuat bermula Januari 2026. SABAH MEDIA / FOTO DBKK