Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner dimaklumkan bahawa Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir tidak menunjukkan sebarang tanda klinikal untuk pulih semasa menerima rawatan.
Saksi keempat inkues, Dr Pavankumar Balachandran, berkata remaja berusia 13 tahun itu dimasukkan ke Wad Neurosurgeri Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada 16 Julai jam 6.40 petang, diiringi petugas Jabatan Kecemasan dan Trauma.
Beliau berkata, selepas penilaian dibuat oleh pasukan Neurosurgeri, satu sesi bersama keluarga diadakan untuk menjelaskan keadaan kritikal pesakit.
“Di wad, pesakit tidak menunjukkan sebarang tanda klinikal untuk pulih.
“Keadaan pesakit terus merosot dan akhirnya meninggal dunia pada 17 Julai kira-kira 1.07 petang. Punca kematian adalah disebabkan ‘severe traumatic brain injury with hypoxic-ischemic encephalopathy’,” katanya ketika membacakan kenyataannya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Dr Pavankumar berkata beliau telah memaklumkan kematian itu kepada pegawai penyiasat dan mayat Zara disimpan di wad sehingga ketibaan pegawai berkenaan.
“Saya turut menjelaskan kepada pegawai penyiasat dan ibu si mati mengenai punca kematian. Selepas perbincangan pegawai penyiasat dengan ibu si mati, beliau (pegawai penyiasat) mengarahkan supaya mayat dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik,” katanya.
Mahkamah turut dimaklumkan bahawa Zara dibawa ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HQE pada 16 Julai jam 4.38 pagi oleh pasukan Pre-Hospital Care (PHC) dari Klinik Kesihatan Kinarut.
Menurut pasukan PHC, Zara ditemui tidak sedarkan diri di kawasan longkang berdekatan aras bawah asrama sebelum ‘trauma alert’ diaktifkan pada jam 4.42 pagi.
Sepanjang rawatan, Zara turut dikendalikan oleh pasukan pelbagai disiplin melibatkan Jabatan Kecemasan, Pembedahan Am, Ortopedik serta Anestesia Am.
Dr Pavankumar kini bertugas sebagai pegawai perubatan di Jabatan Neurosurgeri HQE selepas berkhidmat di Hospital Kuala Lumpur antara 2021 hingga 2023.



