BEAUFORT : Seramai 172 mangsa daripada 57 keluarga kini ditempatkan di sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah ini selepas kediaman mereka terjejas akibat banjir sejak semalam.
Menurut data InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPS berkenaan mula dibuka pada Selasa bagi menempatkan penduduk yang terjejas dari satu mukim di Beaufort.
Pecahan mangsa banjir yang direkodkan adalah melibatkan seramai 31 lelaki dewasa; 54 perempuan dewasa; 40 kanak-kanak lelaki; 28 kanak-kanak perempuan; tujuh bayi lelaki dan dua bayi perempuan.
Selain itu, turut ditempatkan ialah 12 warga emas (empat lelaki dan lapan perempuan) dan enam orang Orang Kurang Upaya (OKU) terdiri daripada empat lelaki dan dua perempuan.

Setakat jam 9.29 malam tadi, jumlah mangsa masih kekal dan pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa berikutan keadaan cuaca tidak menentu serta paras air sungai yang berisiko meningkat.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan Datuk Ruslan Muharam meminta penduduk sekitar daerah ini dan kawasan berhampiran Sungai Padas agar sentiasa berwaspada susulan paras sungai tersebut telah mencecah pada paras bahaya petang tadi.
Katanta, keadaan banjir yang mula melanda sejak semalam masih berterusan dan berpotensi meningkat berikutan cuaca tidak menentu.

Beliau turut mendapati beberapa kawasan rendah mula dinaiki air dengan limpahan sungai yang semakin meluas.
“Justeru itu, semua pihak perlu lebih peka dengan keadaan semasa memandangkan risiko banjir boleh mengancam keselamatan penduduk, khususnya mereka yang tinggal berhampiran sungai.
“Kita minta penduduk mengambil langkah berjaga-jaga, terutama yang mempunyai anak kecil agar tidak membiarkan mereka bermain di kawasan banjir.
“Jika ada keperluan dipindahkan, penduduk boleh menghubungi Pejabat Daerah, Pejabat ADUN, PKOB atau kepimpinan JKKK untuk bantuan segera,” katanya. – SABAH MEDIA



