KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia boleh mula membuat semakan kelayakan subsidi petrol RON95 bermula jam 9 pagi pada Khamis.
Subsidi petrol RON95 itu dilaksanakan melalui inisiatif BUDI MADANI (BUDI95) yang dilancarkan Kementerian Kewangan.
Portal rasmi www.budimadani.gov.my kini dibuka untuk semakan profil kelayakan dan baki penggunaan subsidi bulanan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, semakan dilakukan secara automatik menggunakan nombor kad pengenalan tanpa perlu pendaftaran baharu.
Pengguna hanya perlu memasukkan MyKad ke dalam pembaca di pam minyak untuk pengesahan kelayakan sebelum membuat bayaran dan pembayaran dibuat menggunakan tunai, kad kredit/debit atau e-dompet.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian bantuan BUDI95 di 1300-88-9595 mulai jam 9 pagi hari ini.



