KOTA KINABALU : Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan Persekutuan memberi keutamaan terhadap usaha menangani isu banjir serta pembinaan semula sekolah rosak di Sabah yang terjejas akibat bencana alam baru-baru ini.
Katanya, kerja-kerja fasa pertama mitigasi banjir kini sedang berjalan, manakala fasa kedua akan dipercepatkan bagi memastikan keselamatan rakyat serta mengurangkan risiko kejadian berulang.
“Ini bukan soal politik, ini soal rakyat. Jalan mesti diperbaiki, sungai perlu dijelurkan, rumah dan sekolah yang rosak mesti diberi perhatian segera,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Himpunan Tamu Rapat Umum sempena 27 Tahun Reformasi PKR di Dewan Pisompuruan Kampung Kobuni, di sini, pada Jumaat.
Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Anwar turut memaklumkan bahawa kerajaan Persekutuan telah meluluskan RM39 juta untuk pembinaan semula sekolah-sekolah daif di Sabah.
Katanya, sekolah lama berasaskan papan yang tidak lagi selamat akan digantikan dengan bangunan baharu demi keselamatan murid.
Selain itu, Perdana Menteri turut menekankan bahawa hubungan baik antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan penting bagi memastikan kelulusan projek pembangunan berjalan lancar tanpa birokrasi yang melambatkan.
“Kalau kita benar-benar sayangkan anak-anak kita, kita tidak mahu mereka belajar di sekolah yang retak atau daif.
“Setiap kanak-kanak, tanpa mengira kaum dan latar belakang, berhak mendapat pendidikan dalam suasana selamat dan kondusif,” tegasnya.
Beliau berkata, kerajaan akan terus memantau pelaksanaan projek-projek pembangunan di Sabah termasuk penambahbaikan infrastruktur pendidikan, bekalan air bersih, elektrik dan kemudahan asas lain.



