KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen hari ini membenarkan seorang remaja Bajau Laut tanpa kewarganegaraan diikat jamin selepas berjaya mengemukakan dokumen yang membuktikan beliau dilahirkan di Sabah.
Hakim Hurman Hussain membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin tempatan terhadap Mohd Nico Ansboy, 18, yang kini menuntut di sebuah pusat pembelajaran alternatif kendalian pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Hakim membenarkan ikat jamin selepas mempertimbangkan akuan berkanun Ketua Kampung sebagai dokumen yang menunjukkan Nico dilahirkan di Sabah.
Mahkamah turut memerintahkan Nico melapor diri di balai polis di sini sebulan sekali, manakala pengetua pusat pembelajaran berkenaan ditetapkan sebagai penjamin.
Nico sebelum ini ditahan pada 15 Mac, jam 3 petang di kawasan One Borneo Mall, dekat sini, kerana tidak memiliki pas yang sah di sisi undang-undang untuk memasuki Sabah.
Beliau kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis sebelum didakwa di mahkamah pada 2 April.
Penahanan Nico mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial berhubung isu tanpa kewarganegaraan dan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa, Inspektor Deanivo Sittin, membantah permohonan jaminan dengan alasan tertuduh adalah seorang yang tidak mempunyai dokumen sah, tanpa sebarang pengenalan diri yang sah atau status yang sah di negara ini.
“Keadaan ini menimbulkan kebimbangan serius berhubung identiti sebenar tertuduh, yang sehingga kini belum disahkan dengan memuaskan,” katanya.
Tambahnya lagi, memandangkan status tertuduh yang tidak berdokumen, terdapat risiko tinggi untuk melarikan diri, selain daripada beliau tidak mempunyai tempat tinggal tetap.
Peguam bela, Sherzali Herza Asli, yang mewakili Nico, memohon agar anak guamnya dibenarkan jaminan dan mengemukakan akuan berkanun Ketua Kampung sebagai dokumen yang menunjukkan Nico dilahirkan di Sabah.
Selain itu, Sherzali juga mengemukakan beberapa dokumen iaitu akuan berkanun daripada abang ipar Nico, Sijil Vaksinasi Nico dan Borang A untuk permohonan sijil kelahiran kepada Jabatan Pendaftaran Negara.
Peguam juga memaklumkan bahawa kedua ibu bapa Nico ialah Bajau Laut tanpa dokumen, namun bapa Nico mempunyai akuan berkanun Ketua Kampung yang mengesahkan beliau seorang Bajau Laut.
Kes Nico akan disebut semula pada 30 April untuk pengurusan kes pra-perbicaraan (PTCM).
Pada 2 April, Nico mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memasuki Sabah tanpa pas yang sah.
Dia didakwa di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10, 000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya dan hendaklah disebat tidak lebih dari enam sebatan, jika sabit kesalahan.
Pada masa itu, tertuduh memohon ikat jamin, mendakwa dia dilahirkan di Sabah, tetapi gagal memberikan sebarang dokumen sebagai bukti. Mahkamah menjadualkan hari ini untuk permohonan ikat jaminnya didengar melalui peguamnya. – SABAH MEDIA
LINK BERITA TERDAHULU:



