Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Kerajaan Persekutuan sentiasa mengambil kira realiti dan keperluan rakyat Sabah serta Sarawak dalam membuat keputusan dasar, termasuk berhubung pelarasan harga bahan api.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun harga diesel dinaikkan di Semenanjung, langkah sama tidak dilaksanakan di Sabah dan Sarawak bagi meringankan beban penduduk yang rata-rata masih berdepan kesukaran hidup.
“Saya tahu keadaan kampung yang susah… sebab itu harga diesel tidak dinaikkan di Sabah dan Sarawak. Kita mahu beri peluang dulu kepada rakyat di sini,” katanya ketika berucap pada Program Rapat Umum PKR di Dewan Terbuka Dato Sri Najib, Kampung Merotai Besar, di sini malm ini.
Anwar menegaskan pendekatan itu mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk memastikan rakyat di negeri luar Semenanjung tidak dipinggirkan dalam pelaksanaan dasar ekonomi.
Dalam ucapannya itu, beliau turut menyentuh pelbagai inisiatif kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan i-SARA yang berjumlah kira-kira RM15 bilion setahun, serta kenaikan gaji penjawat awam selepas lebih 12 tahun tidak disemak.
Selain itu, isu-isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) juga diberi perhatian, termasuk bekalan air, projek tebatan banjir yang dijangka siap pada 2028, dan peruntukan pembangunan yang disalurkan ke Sabah.
Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang perlu diadakan selewat-lewatnya November ini, Anwar menekankan pentingnya rakyat memilih wakil rakyat yang mampu memperjuangkan aspirasi akar umbi serta menjaga hubungan baik antara negeri dan Persekutuan.



