KOTA KINABALU : Lebih 45 tan sampah berjaya dikutip dan dilupuskan di seluruh kawasan bandaraya dan pulau sempena penganjuran program Hari Cuci Malaysia (HCM) 2025 peringkat bandaraya Kota Kinabalu di sini pada Sabtu.
Selain sampah, sebanyak 89,964 botol plastik turut berjaya dikutip untuk dikitar semula dari kawasan kepulauan, sekali gus memperkukuh agenda kelestarian alam sekitar.

Program melibatkan lebih 1,216 peserta daripada agensi kerajaan, NGO, sektor swasta, institusi pendidikan serta komuniti setempat itu dirasmikan Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah.

Terdahulu ketika berucap, Sabin berkata, HCM merupakan sebuah inisiatif nasional yang selaras dengan Dasar Kebersihan Negara (DKN) dan menyokong aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan aspek kelestarian, kesejahteraan serta kualiti hidup rakyat.
Katanya, program itu bukan sekadar gotong- royong membersihkan sampah, tetapi merupakan sebuah gerakan perubahan sosial untuk membudayakan kebersihan dalam kehidupan seharian.

“Ia adalah simbol kesepakatan kita semua, daripada pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, sektor swasta, institusi pendidikan, sehinggalah komuniti setempat, dalam mengukuhkan tanggungjawab bersama menjaga alam sekitar dan mengurangkan risiko pencemaran.
“Bagi tahun ini, penganjuran di Bandaraya Kota Kinabalu melibatkan lebih 1,000 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat.

“Skop liputannya pula amat menyeluruh, melibatkan pembersihan pusat bandar, kawasan perumahan, pasar besar, perairan laut, kawasan kepulauan termasuk Pulau Gaya dan Pulau Sepanggar, serta pencucian jalan-jalan utama di sekitar pusat bandar,” katanya.
Sementara itu, Sabin berkata, kempen itu telah digerakkan sejak April tahun ini di bawah inisiatif Bandaraya Sihat, Komuniti Sejahtera.
“Maka, penggabungan dengan sambutan World Cleanup Day pada kali ini sangatlah bertepatan, kita bukan sekadar menguatkuasakan larangan memberi makanan kepada burung, malah secara simbolik, kita turut berganding bahu membersihkan kawasan yang telah tercemar oleh najis burung.
“Ini menunjukkan betapa eratnya hubungan antara dasar kesihatan awam dengan tindakan kebersihan persekitaran.
“Seiring dengan itu, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu turut melaksanakan Cabaran ‘Kampungku Bersih’ Edisi Kepulauan yang disertai tujuh buah kampung di Pulau Gaya dan Pulau Sepanggar.
“Cabaran ini bukan sekadar pertandingan, tetapi sebuah platform pembangunan komuniti yang menggalakkan kampung-kampung mempertingkat tahap kebersihan, memperindah landskap, memelihara keselamatan, serta menambah nilai tarikan pelancongan melalui inovasi masing-masing,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO DBKK



