KOTA KINABALU: Program Bulan Dakwah yang berlangsung lebih dua bulan di seluruh Sabah menjadi wadah penyatuan masyarakat berbilang kaum dan agama menerusi pengisian berbentuk ilmu serta nilai perpaduan.
Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Datuk Sapawi Ahmad berkata program yang bermula pada 5 Julai lalu menjelajah ke semua zon dan bahagian di negeri ini.
Katanya, ia termasuklah Tambunan, Keningau, Beaufort, Kuala Penyu, Tawau, Kunak, Lahad Datu, Sandakan, Ranau, Pitas, Kudat, Kota Marudu dan Kota Kinabalu.
“Program ini bukan sekadar ceramah agama, malah turut menyentuh soal kehidupan masyarakat Malaysia yang majmuk, aman dan harmoni.
“Kehadiran bukan sahaja daripada umat Islam, bahkan turut disertai sahabat-sahabat bukan Muslim,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Seminar Keluarga Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Sabtu.
Sapawi berkata, penceramah terkenal dari Semenanjung turut digandingkan bersama penceramah tempatan yang kini semakin mendapat tempat sekali gus memberi manfaat dalam perkongsian ilmu dan pengalaman.
”Penganjuran ini seiring dengan konsep Madani yang mengangkat nilai kasih sayang, toleransi dan perpaduan sebagai asas mengukuhkan keharmonian hidup berbilang kaum di Sabah.
“Di Sabah, masyarakat pelbagai agama dan bangsa dapat meraikan perayaan masing-masing dalam suasana harmoni. Inilah sebenarnya asas dakwah yang mampu merapatkan jurang masyarakat, seterusnya menjamin kestabilan negara,” katanya.
Sapawi menyatakan sambutan di setiap lokasi amat menggalakkan apabila ribuan masyarakat hadir bagi mengikuti pengisian yang dibawa.



