TAMPARULI: Hari Keluarga wajar dijadikan simbol kasih sayang dan kebersamaan antara ibu bapa, anak, guru, kakitangan sekolah serta masyarakat setempat.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Seri Jahid Jahim berkata, program Hari Keluarga membawa makna yang sangat besar dalam menyatu padukan institusi sekolah, ibu bapa dengan masyarakat.
“Program Hari Keluarga bukan sekadar aktiviti riadah atau hiburan, tetapi wadah yang dapat menyatukan seluruh warga sekolah dan komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pembukaan Hari Keluarga SJK (C) Chung Hwa, di sini, pada Ahad.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah (LPS) SJK (C) Chung Hwa Tenghilan, Johnson Wong, dan Yang Dipertua Persatuan Ibubapa Dan Guru (PIBG) sekolah, Sylvia Desmond Lee.
Jahid berkata, apabila kasih sayang dijadikan asas hubungan, maka lahirlah masyarakat yang lebih bersatu padu, saling memahami dan saling menghormati.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)’Tamparuli turut menekankan pentingnya kerjasama erat antara ibu bapa, guru dan masyarakat bagi memastikan kecemerlangan sekolah.
Katanya, pendidikan bukan sahaja mengenai pencapaian akademik, tetapi juga tentang membina sahsiah pelajar agar menjadi insan yang seimbang.
Dalam ucapannya, Jahid turut berpesan kepada para pelajar agar berusaha gigih dalam menuntut ilmu.
“Belajarlah bersungguh-sungguh supaya berjaya dalam pelajaran kelak dan mampu menaikkan nama sekolah.
Ingatlah bahawa kejayaan bukan sahaja memberi kebanggaan kepada diri sendiri dan keluarga, malah juga kepada sekolah, guru-guru dan masyarakat,” katanya.
Terdahulu, Guru Besar SJK (C) Chung Hwa Tenghilan, Chong Chi Tart, berkata, program tersebut bertujuan memperkukuhkan semangat kebersamaan, selain memberi ruang kepada warga sekolah untuk menjalin hubungan yang lebih erat.
Hari Keluarga SJK (C) Chung Hwa dianjurkan dengan pelbagai aktiviti seperti persembahan pentas, tiket bertuah, dan acara kekeluargaan sukaneka melibatkan murid, guru, ibu bapa serta masyarakat setempat.
Acara tersebut mendapat sambutan hangat daripada masyarakat di sekitar Tenghilan, yang turut menyaksikan lebih 10 gerai makan minum, selain gerai menjual kraftangan, Mini Fun Fair, sesi Spa dan refleksologi dibuka.



