PRN SABAH
HomeUtamaInkues Zara: Pelajar senior marah junior budaya biasa di asrama - Saksi

Inkues Zara: Pelajar senior marah junior budaya biasa di asrama – Saksi

Read Time:1 Minute, 17 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini dimaklumkan bahawa tabiat pelajar senior memarahi atau menegur secara keras adalah budaya biasa dalam kalangan pelajar asrama.

Menurut peguam Shahlan Jufri yang mewakili ibu Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, perkara itu dinyatakan oleh saksi kelima kanak-kanak yang juga merupakan saksi ke-13 dalam inkues kematian Zara.

Shahlan berkata, saksi berkenaan turut mendedahkan bahawa pelajar junior mesti melalui pengalaman tersebut.

“Saksi menyatakan bahawa tabiat pelajar senior memarah atau menegur secara keras adalah budaya biasa dalam kalangan kawan-kawan pelajar asrama.

“Pelajar junior dianggap mesti melalui pengalaman tersebut kerana mereka sebagai pelajar senior sebelum ini juga mengalaminya,” katanya dalam sidang media petang tadi.

Ibu Zara turut diwakili peguam Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James.

Shahlan berkata, saksi itu juga menyatakan bahawa dia rapat dengan kumpulan Circle 19, iaitu 19 orang pelajar yang sering melakukan aktiviti bersama.

“Saksi kata-kata kasar seperti “Bodoh, sial” yang digunakan oleh salah seorang ahli Circle 19 terhadap Zara adalah bersama kawan-kawan,” katanya.

Shahlan berkata saksi juga ada menyatakan bahawa dia mengambil inisiatif untuk mengenal pasti guru yang merampas telefon bimbit seorang pelajar pada pagi kejadian, kerana penggunaan telefon tidak dibenarkan di dorm.

Menurut Shahlan, saksi itu juga menegaskan bahawa Zara seorang pelajar ceria, peramah, dan tidak menunjukkan tanda masalah mental atau tekanan emosi sebelum kejadian.

Zara ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) keesokan harinya.

RELATED ARTICLES
Utama

Ribuan umat Islam hadir solat jenazah Allahyarham Bung Moktar Radin di...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular