PRN SABAH
HomeUtamaKKKSB catat kewangan hampir RM2 juta selepas lima tahun

KKKSB catat kewangan hampir RM2 juta selepas lima tahun

Read Time:1 Minute, 42 Second

RANAU: Koperasi Kluster Koko Sabah Berhad (KKKSB) kini berjaya mengumpul jumlah keseluruhan kewangan hampir RM2 juta selepas lima tahun penubuhannya, sekali gus membuktikan kemampuan badan itu bergerak lebih jauh dalam industri koko.

Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia (LKM), Datuk Dr Ramle Kasin berkata, jumlah kewangan KKKSB sehingga 28 Ogos 2025 mencecah RM1,950,865.77.

“Setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada KKKSB atas pencapaian ini. Di samping itu, logo KKKSB juga telah didaftarkan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia, selain menerima Anugerah Koperasi Harapan sempena Hari Koperasi Negara 2025 di Melaka, baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Kelima KKKSB di Lohan Rest House, Ranau pada Isnin.

Menurutnya, keuntungan bersih KKKSB menunjukkan trend meningkat iaitu RM92,760.60 pada 2020, RM86,106.47 (2021), RM70,277.68 (2022), RM167,005.73 (2023) sebelum melonjak kepada RM716,936.32 pada 2024.

“Peningkatan keuntungan ini membuktikan bahawa KKKSB memang boleh pergi lebih jauh,” jelasnya.

Selain itu, katanya, KKKSB turut meraih keuntungan bersih jualan sebanyak RM13,181.80 menerusi penyertaan dalam Malaysian International Cocoa Fair (MICF) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Mei lalu.

Dr Ramle berkata, kejayaan itu menjadi bukti kemampuan koperasi dalam mengupayakan tahap ekonomi anggotanya walaupun masih muda sejak didaftarkan pada 20 Disember 2019.

Aktiviti utama KKKSB merangkumi pembelian dan penjualan biji koko kering, penjualan produk berasaskan koko serta penyediaan tenaga kerja.

Beliau turut memaklumkan Kompleks Ranau Highland Cocoa Cluster (RHCC) di Napong, Ranau dijangka siap tahun ini dan mampu menjadi sumber pendapatan baharu koperasi.

“RHCC ditubuhkan sebagai One Stop Centre dengan pelbagai peluang perniagaan termasuk kemudahan asas, nurseri, homestay serta perkhidmatan sewa kenderaan. KKKSB perlu menjalin kerjasama baik dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan ANGKASA untuk mendapatkan sokongan kewangan, latihan serta pemasaran,” katanya.

Dr Ramle turut merakamkan penghargaan kepada semua Ahli Lembaga Koperasi (ALK) dan kakitangan KKKSB atas komitmen mereka.

Turut hadir, Pengerusi KKKSB merangkap Pengarah Bioteknologi LKM, Dr Albert Ling Sheng Chang; Pengarah Pemindahan Teknologi dan Pengembangan, Abdul Karem Che Hamid; Timbalan Pengerusi KKKSB, Bidi Bongkok serta barisan ALK dan anggota koperasi.

RELATED ARTICLES
Utama

Jenazah Bung Moktar selamat dikebumikan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular