Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Inkues kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir akan bersambung semula pada 7 Oktober dan dijangka berlanjutan hingga selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN-17).
Jangkaan itu timbul berikutan jumlah saksi yang masih ramai belum memberi keterangan, selain kemungkinan ada saksi tambahan yang akan dipanggil oleh peguam pihak berkepentingan.
Sebelum ini, Mahkamah Koroner menetapkan 17 hari pendengaran antara 3 hingga 30 September, membabitkan 68 saksi, tidak termasuk saksi tambahan. Namun, setakat ini baru 16 saksi dipanggil.
Ketika ini, prosiding tertumpu kepada saksi kanak-kanak, hanya lapan daripada lebih 30 saksi kanak-kanak telah memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Menurut peguam yang mewakili ibu Zara, Rizwandean M Borhan, saksi kanak-kanak kelapan yang juga saksi ke-16 baru mula memberi keterangan dan belum selesai.
Selain Rizwandean, barisan peguam yang mewakili ibu Zara termasuk Shahlan Jufri, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James. Mereka menjadi pihak berkepentingan dalam inkues tersebut.
Pihak berkepentingan lain ialah peguam Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan yang mewakili pelajar A; serta Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Fareez Salleh dan Sylvester Kuan yang mewakili pelajar B, C, D dan E.
Pegawai pengendali terdiri daripada Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan II, Datuk Badiuszaman Ahmad; Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Nahra Dollah; serta Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia S. Sawayan dan Dacia Jane Romanus.
Sabah Law Society (SLS) dan Peguam Kanan Persekutuan, Dr Norahimah Fitri mewakili Kementerian Pendidikan hadir sebagai peguam pemerhati.
Zara, pelajar Tingkatan 1, ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asramanya sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth (QEH).



