Oleh Florieta Diet
PENAMPANG: Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog mahu seorang wakil rakyat yang benar-benar berdedikasi dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan oleh rakyat.
Bagi mereka, pemimpin yang diharapkan ialah seorang yang rajin turun padang, peka dengan keperluan asas masyarakat serta konsisten memperjuangkan isu rakyat.
Bagi salah seorang peniaga tamu di Donggongon, Tanya Lyna Edat, 48, selain wakil rakyat yang komited, peranan akar umbi juga penting dalam memastikan suara masyarakat benar-benar sampai kepada kerajaan.
Ketika ditanya adakah wakil rakyat di Penampang melaksanakan tanggungjawabnya selama lima tahun ini, dia menjawab, “Saya kurang pasti, tetapi Ahli Parlimen kawasan ini memang selalu turun padang dan mesra rakyat,” katanya.
Beliau menambah, rakyat tidak mahu wakil rakyat yang hanya muncul ketika pilihan raya. Sebaliknya, mereka mahu seorang pemimpin yang berdedikasi serta prihatin terhadap masalah rakyat.
Beliau berharap kerajaan pada penggal akan datang memberi perhatian terhadap isu harga barang yang semakin mahal, keadaan jalan raya yang perlu dinaik taraf serta sistem perparitan yang perlu dibaiki.
Pada masa yang sama, Tanya juga berharap kerja-kerja menaik taraf Tamu Donggongon dapat disiapkan dengan segera agar peniaga dapat berniaga dengan lebih selesa, manakala pengunjung pula berpeluang membeli barangan dalam suasana yang lebih baik.
Beliau turut merayu agar pihak berkuasa sentiasa memantau bagi memastikan hanya peniaga tempatan dibenarkan di tamu.
Sementara itu, Jacinta Minol, 45, dari Kampung Togudon, berkata wakil rakyat Parlimen Penampang setakat ini telah menunaikan beberapa janji termasuk pelaksanaan tamu desa dan pemberian geran tanah.
“Saya berharap beliau terus jadi wakil rakyat kami kerana masih ramai lagi yang belum mendapat geran tanah. Dari segi infrastruktur, jalan raya juga perlu diperbaiki. Dalam pilihan raya DUN yang terdekat ini, kami mahu seorang wakil rakyat yang benar-benar bekerja untuk Moyog,” katanya.
Bagi John Quincy, 27, pula, dia tidak nampak banyak perubahan dalam tempoh lima tahun ini.
“Tapi mungkin tidak boleh salahkan sepenuhnya kepada mereka, sebab memang faktor ekonomi dan kesan pandemik Covid-19. Namun begitu, kami mahu seorang pemimpin yang lantang bersuara, sentiasa turun padang dan benar-benar memperjuangkan nasib rakyat. Dalam penggal akan datang, kami mahu bekalan air yang stabil, elektrik yang tidak kerap terputus dan jalan raya yang lebih baik. Kami tidak minta bangunan pencakar langit atau pembangunan mewah. Cukuplah jika keperluan asas diutamakan dahulu,” katanya.
Beliau turut menegaskan kawasan Donggongon sebagai pusat tumpuan Penampang juga memerlukan banyak penambahbaikan.
“Banyak yang perlu diperbaiki, contohnya kawasan pejalan kaki yang tidak rata hingga ada orang tua tersadung. Kemudahan awam seperti tandas juga perlu diberi perhatian. Saya harap wakil rakyat DUN yang menang pada pilihan raya nanti sentiasa turun padang, dengar keluhan dan lihat sendiri apa masalah rakyat,” katanya.



