Oleh Raul G
KIULU: Tindakan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) menarik diri daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak memberi kesan terhadap perjuangan gabungan parti tempatan itu menuntut hak-hak Sabah, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai.
Joniston, yang juga Ketua Penerangan GRS dan Parti Bersatu Sabah (PBS), percaya walaupun STAR dan SAPP bukan lagi sebahagian daripada GRS, kedua-dua parti itu masih berkongsi impian serta perjuangan yang sama seperti ketika membentuk gabungan itu (GRS).
“Lagipun, kedua-dua STAR dan SAPP memainkan peranan penting dalam pembentukan GRS, dan saya percaya mereka masih membawa ‘DNA’ GRS,” katanya pada Sesi Hari Bertemu Rakyat di Kampung Tomis Jaya di sini, hari ini.
Beliau berharap, kedua-dua parti terbabit akan terus menyokong usaha dalam mempertahankan hak dan kepentingan Sabah walaupun di luar gabungan parti.
Joniston mengulas lanjut, komponen politik mungkin berubah, tetapi matlamat bersama untuk menjaga autonomi dan pembangunan Sabah wajar diteruskan dalam menyatukan parti tempatan.
Beliau mengingatkan bahawa PBS, yang pernah mentadbir Sabah sejak tahun 1985 sehingga 1994, mempelajari kepentingan kerjasama dalam mempertahankan hak Sabah.
“Sepanjang tempoh itu mengajar kita, bahawa melindungi hak Sabah bukanlah mudah. Kita harus belajar daripada pengalaman itu ketika kita menghadapi situasi politik hari ini,” katanya.
Berdasarkan pengalaman itu juga, Joniston berkata menjadi jelas bahawa bertindak sendirian sahaja tidak akan menyelesaikan masalah, namun perundingan dan persefahaman bersama lebih membuka banyak peluang untuk kemajuan Sabah.
Sehubungan itu, beliau menyatakan bahawa kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan perlu dilihat sebagai perkongsian strategik yang membolehkan Sabah mendapatkan haknya melalui dialog dan penglibatan yang membina.
“Apa yang kita perlukan adalah pendekatan yang betul, sama ada melalui perundingan atau rundingan, selagi ia membantu kita mencapai keputusan yang bermakna untuk Sabah.
“Bekerja rapat dengan kerajaan pusat tidak boleh dilihat sebagai tunduk kepada Putrajaya tetapi usaha strategik untuk menuntut semula hak kita,” ujarnya.
Terdahulu, dua hari lepas, GRS mengesahkan keanggotaan parti STAR dan SAPP dalam gabungan itu tamat selepas kedua-duanya menyatakan keputusan untuk bertanding solo pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata hasrat itu disuarakan presiden kedua-dua parti berkenaan pada Mesyuarat Majlis Presiden GRS yang dipengerusikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Pengerusi GRS di Sri Gaya baru-baru ini.



