KOTA KINABALU : Program PUSPA VOICE 2.0 berjaya mengetengahkan bakat seni suara wanita tempatan sekaligus memperkukuh peranan wanita dalam bidang seni dan budaya di Sabah.
Pengerusi PUSPANITA Cawangan Sabah, Datuk Dr. Nuinda Alias berkata kejayaan penganjuran tersebut membuktikan komitmen berterusan PUSPANITA dalam menyediakan ruang bagi wanita menonjolkan bakat masing-masing di pentas terbuka.
“Saya sangat bangga dan gembira dengan kualiti penyertaan tahun ini. Ketika melihat pusingan pertama tadi, saya teruja menyaksikan persembahan dan vokal peserta finalis yang begitu hebat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media sejurus merasmikan program tersebut, di sini.
Nuinda berkata, PUSPA VOICE 2.0 bukan sekadar pertandingan nyanyian semata-mata, malah didukung oleh tiga objektif utama iaitu menggalakkan penyertaan dan jalinan silaturahim antara peserta, mencungkil bakat dan kreativiti dalam bidang seni suara, serta meningkatkan penglibatan ahli-ahli PUSPANITA dengan komuniti dalam aktiviti seni.
“Program ini bukan sahaja terbuka kepada ahli PUSPANITA, bahkan kepada semua wanita Sabah yang ingin mengetengahkan bakat mereka. Kehadiran peserta muda juga memberi isyarat positif untuk masa depan dan pelapis seni suara negeri ini,” katanya.
Nuinda turut menyuarakan harapan agar program ini dapat diteruskan dan diperluaskan skopnya merangkumi bidang seni lain seperti tarian serta kebudayaan, seterusnya menjadikannya sebuah platform seni yang lebih inklusif dan menyeluruh.

“Pentas seperti ini perlu dikekalkan supaya lebih ramai wanita diberi peluang menyerlahkan potensi diri dalam pelbagai cabang seni,” katanya.
Beliau juga menyeru agar barisan kepimpinan PUSPANITA dapat meneruskan usaha memperluaskan ruang penyertaan wanita dalam dunia seni tempatan.
“Ini hanya satu permulaan. Kita perlu terus wujudkan pentas buat wanita yang memiliki suara emas serta bakat luar biasa dalam pelbagai bidang di Sabah ini,” katanya.
Pada pertandingan tersebut sebanyak 64 penyertaan telah diterima oleh Jawatankuasa Kecil Kebudayaan PUSPANITA Cawangan Sabah dengan 12 finalis telah dipilih ke peringkat akhir.
Peserta yang mempertaruhkan suaranya melalui lagu bertajuk ‘Gundah’ dan ‘I Surrender’ mewakili PUSPANITA Daerah Tambunan, Keyrolina Roger, muncul sebagai juara PUSPA VOICE 2.0, menewaskan 11 finalis lain dengan persembahan vokal yang memukau juri dan penonton.
Tempat kedua disandang oleh Michelle Kasianus dari PUSPANITA Penampang, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Nursyifa Zahirah Mohd Eirwan, wakil dari PUSPANITA Cawangan Sabah.
Anugerah khas turut diberikan dalam acara ini, dengan gelaran Finalis Popular dimenangi oleh Naina Nasib dari PUSPANITA Sandakan, manakala anugerah Persembahan Terbaik turut dirangkul oleh Michelle Kasianus atas penghayatan dan mutu persembahan yang cemerlang.
Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran) Datuk Norlijah Danin serta Pengerusi Jawatankuasa Kecil Kebudayaan PUSPANITA Cawangan Sabah Datin Noraisah Abdillah.



