Oleh Normimie Diun
TUARAN: Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) tekad memastikan kesinambungan kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor yang terbukti membawa kestabilan politik, kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat di negeri ini.
Ketua Wanita Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Redonah Bahanda berkata, jentera wanita memainkan peranan penting bukan sahaja sebagai pelaksana di lapangan, tetapi juga sebagai penyampai aspirasi kerajaan kepada rakyat di seluruh pelosok negeri.
“Wanita adalah tulang belakang kekuatan parti. Kita bukan sekadar menyokong dari belakang, tetapi berdiri sebaris dalam perjuangan memastikan kesinambungan kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Taklimat Gerak Kerja Jentera Wanita Gagasan Rakyat PRN17 Sabah DUN Sulaman di Dewan Utama Bangunan Kebudayaan Rumpun Bajau Sama, Kampung Lok Batik, Tuaran semalam.
Program berkenaan menghimpunkan jentera wanita daripada tujuh Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sulaman di Tuaran.
Turut hadir Naib Ketua Wanita Gagasan Rakyat, Datuk Aziah Atoh; Ketua Wanita Gagasan Rakyat Bahagian Sulaman, Datuk Jamaliah Antalip yang juga Bendahari Wanita Gagasan Rakyat Sabah; Naib Ketua Wanita Gagasan Rakyat Bahagian Sulaman, Noorziah Mastan; Ketua Wanita Gagasan Rakyat Likas, Halizah Din; Setiausaha Kerja Wanita Gagasan Rakyat, Azizah Atoh serta jawatankuasa dan jentera Wanita G10 Sulaman.
Redonah berkata, sebanyak 74 bahagian Wanita Gagasan Rakyat di seluruh Sabah telah menyatakan sokongan padu terhadap kepimpinan Hajiji sebagai Ketua Menteri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 nanti.
“Kita bersatu di bawah panji perjuangan yang sama untuk memastikan Datuk Seri Hajiji terus menerajui Sabah. Kesinambungan ini penting demi kestabilan, kemajuan dan masa depan rakyat yang lebih baik,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan setiap jentera wanita agar bersiap siaga dengan struktur G10 yang mantap supaya gerak kerja dapat dijalankan dengan lebih tersusun, fokus dan berstrategi.
“Gerak kerja wanita perlu dilaksanakan secara berfokus dan meyakinkan supaya setiap pengundi dapat didekati dengan mesej perjuangan yang jelas. Ini masa untuk kita buktikan bahawa wanita Gagasan mampu menjadi barisan hadapan kemenangan GRS,” tegasnya.
Redonah turut menegaskan bahawa DUN Sulaman merupakan nadi politik kepimpinan Hajiji, dan kemenangan di kawasan itu menjadi simbol keutuhan sokongan rakyat terhadap beliau.
“DUN Sulaman bukan sekadar kawasan pilihan raya, tetapi simbol kekuatan perjuangan Gagasan Rakyat Sabah dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Kejayaan mempertahankan Sulaman akan menjadi tanda jelas keyakinan rakyat kepada kepimpinan Datuk Seri Hajiji,” katanya.
Beliau turut menyeru semua jentera wanita memperkukuh perpaduan dan terus turun padang mendekati rakyat dengan mesej perjuangan GRS yang berasaskan kestabilan dan kesejahteraan.
“Wanita Gagasan adalah benteng semangat dan kekuatan parti. Dari DUN Sulaman, kita gerakkan gelombang kemenangan untuk seluruh Sabah,” katanya.



