Oleh Florieta Diet
TUARAN: Pengundi di Tuaran dan Tamparuli berharap kerajaan gabungan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) dikekalkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 demi memastikan kesinambungan projek pembangunan serta penyelesaian isu rakyat.
Adam Geroda, 56, dari Shabandar, Tuaran, berkata banyak projek penting seperti bekalan air dan Lebuhraya Pan Borneo sedang dilaksanakan, dan pertukaran kerajaan dikhuatiri akan menjejaskan kelancaran projek berkenaan.
“Jika kerajaan bertukar, dasar juga akan berubah. Ini boleh melambatkan projek yang sangat diperlukan rakyat. Saya mahu projek ini cepat siap, sebab itu saya berharap kerajaan sekarang menang pada PRN-17,” katanya.
Beliau turut yakin Datuk Seri Hajiji Noor layak kekal sebagai Ketua Menteri kerana menunjukkan prestasi baik di kawasan Tuaran.
Sementara itu, Maria Alan, 60, dari Kampung Bontoi, Tamparuli, yang berniaga di Tuaran, memuji pelaksanaan bantuan menerusi program Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Saya harap kerajaan sekarang akan terus menjadi kerajaan pada penggal hadapan. Banyak bantuan disalurkan seperti Rumah SMJ, bantuan pendidikan, dan saya juga difahamkan oleh kawan-kawan yang berniaga di sini, ketua menteri adalah seorang yang baik. Apabila ada masalah di kampung-kampung, beliau berusaha mengurus masalah itu.
“Kalau barisan pimpinan mereka menang lagi, harap bantuan-bantuan kepada rakyat diteruskan,” katanya.
Maria, yang berulang-alik ke Tuaran, turut berharap masalah jalan raya rosak dan berlubang di negeri ini diberi perhatian lebih serius oleh kerajaan pada masa akan datang.
Bagi Markus Samui, 47, seorang pengundi atas pagar, mana-mana kerajaan yang dipilih perlu benar-benar mengutamakan rakyat.
“Saya tidak menolak mana-mana kerajaan yang menang nanti. Tetapi apa yang saya harapkan, bila wakil rakyat itu sudah senang, mereka janganlah lupakan rakyat.
“Masalah air, jalan rosak, elektrik dan banjir kilat berlaku bukan hanya di Tuaran, tapi seluruh negeri. Kerajaan mesti menyelesaikan isu-isu ini yang sudah lama menghantui rakyat. Kerajaan akan datang perlu fokus kepada kebajikan dan kesejahteraan rakyat,” tegasnya.



