Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen menolak permohonan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) yang dikemukakan pasukan guaman Datuk Albert Tei Jiann Cheing.
Albert yang mendakwa tidak dibenarkan masuk ke Sabah, gagal menghadiri prosiding yang telah ditetapkan oleh Mahkamah hari ini.
Peguam Edward Paul membuat permohonan DNAA atas alasan perintah larangan kemasukan itu merupakan larangan sepenuhnya (total ban) ke atas anak guamnya.
Hakim Jason Juga menetapkan 28 November untuk sebutan pengurusan kes pra-perbicaraan (PTCM) seterusnya dan mengarahkan supaya notis pendengaran dikeluarkan.
Mahkamah juga mengarahkan pihak pendakwaan berurusan dengan Jabatan Imigresen bagi membolehkan tertuduh masuk ke Sabah untuk perbicaraan kes ini.
Jason turut memaklumkan bahawa pada masa akan datang, pihak pembelaan boleh memohon agar tertuduh menghadiri PTCM atau sebutan kes melalui aplikasi Zoom.
Pada 30 Jun, Albert Tei yang merupakan seorang ahli perniagaan, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan memberi rasuah kepada dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah berhubung lesen untuk mencarigali mineral di Sabah.
Albert didakwa memberikan suapan RM200, 000 dan RM150, 000, masing-masing Adun Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob dan Adun Tanjung Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy pada tahun 2023.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mahadi Abdul Jumaat dan Rustam Sanip bagi pihak pendakwaan, memaklumkan bahawa Albert telahpun dinafikan kebenarannya untuk masuk ke negeri Sabah ketika ketibaannya di KKIA pada petang semalam oleh pihak Jabatan Imigresen Negeri Sabah bertarikh 23 Oktober jam 3.30 petang.
Notis penolakan masuk Albert telahpun diserahkan kepada pihak pendakwaan dan mereka mengambil maklum bahawa terdapat ‘prohibition order’ yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan negeri Sabah sebelum ini.
“Untuk makluman mahkamah alasan kepada penolakan masuk Albert ini adalah disebabkan kerana beliau gagal untuk memaklumkan kepada pihak Imigresen tujuan kemasukkannya ke negeri Sabah adalah bagi tujuan menghadiri prosiding mahkamah pada pagi ini.
“Berdasarkan kepada rekod kami juga, Notice of Hearing (notis pendengaran) telahpun dikeluarkan kepada tertuduh melalui satu notis bertarikh 21 Oktober dan telahpun diserahkan kepada peguambela tertuduh pada 22 Oktober.
“Ketika kehadirannya di KKIA semalam notis ini tidak di kemukakan kepada pihak Imigresen untuk tujuan semakan,” kata Mahadi.
Mahadi berkata mengikut rekod pihak pendakwaan pada tarikh sebutan yang lepas pada 23 September, tertuduh pada mulanya telahpun dinafikan kebenarannya untuk masuk ke negeri Sabah pada 22 September, namun, setelah memaklumkan bahawa tujuan kehadirannya adalah untuk menghadiri prosiding mahkamah, beliau telahpun dibenarkan masuk untuk menghadiri prosiding pada 23 September.
“Berdasarkan kepada fakta yang dikemukakan ini saya percaya kegagalan tertuduh untuk mengemukakan Notice of hearing di KKIA semalam adalah alasan utama kerana mengapa beliau dinafikan kemasukan ke negeri Sabah.
“Memandangkan beliau tidak dapat hadir pada hari ini kami mohon tarikh sebutan yang baru ditetapkan oleh mahkamah untuk kehadiran tertuduh dan juga untuk penyerahan dokumen-dokumen di bawah Seksyen 51A Criminal Procedure Code dan mohon Notice of Hearing juga dikeluarkan,” katanya.
Peguam Edward Paul mengesahkan telah menerima Notis Pendengaran dan telah menyerahkan salinan notis tersebut kepada Albert.
Namun, beliau menafikan dakwaan pihak pendakwaan bahawa Albert tidak memaklumkan kepada pegawai Imigresen tentang sebab kemasukan anak guamnya ke Sabah.
Menurut Edward, anak guamnya memaklumkan kepada pegawai Imigresen bahawa beliau datang ke Sabah untuk menghadiri kes mahkamah yang ditetapkan pada hari ini, namun pegawai tersebut terus memberitahu bahawa beliau dilarang memasuki Sabah.
“Pegawai itu tidak meminta sebarang bukti atau dokumen sokongan, sebaliknya terus menyatakan dia‘tidak boleh masuk Sabah’,” jelasnya.
Beliau menambah, notis tersebut merupakan larangan sepenuhnya (total ban) dan bukan larangan bersyarat yang membenarkan kemasukan hanya untuk tujuan menghadiri perbicaraan.
“Anak guam saya bernasib baik pada kali pertama kerana pihak Imigresen mengambil inisiatif untuk menyemak kes ini. Namun semalam, perkara itu tidak dilakukan walaupun tertuduh telah memaklumkan sebab kemasukannya. Memaklumkan alasan sudah mencukupi walaupun tanpa menunjukkan notis berkenaan, kerana pegawai Imigresen sendiri tidak meminta sebarang dokumen,” katanya.
Edward turut menjelaskan bahawa semasa sebutan kes yang lalu, beliau telah meminta TPR untuk berhubung dengan pihak berkuasa berkaitan mengenai larangan ini.
“Sekiranya perkara itu telah diambil tindakan seperti yang diminta sebelum ini, mungkin kejadian ini dapat dielakkan,” katanya.
Menjawab soalan daripada hakim, Mahadi berkata bahawa pihaknya akan memaklumkan Jabatan Imigresen tentang tarikh pendengaran akan datang dan memberikan salinan Notis Pendengaran untuk rujukan serta pengesahan.
“Kami juga akan menghantar salinan notis tersebut kepada mahkamah dan peguam bela,” katanya sambil menafikan bahawa larangan terhadap Tei merupakan larangan sepenuhnya, seperti didakwa pihak pembelaan.



