LAHAD DATU: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) bersama Jabatan Perikanan Malaysia, Sabah akan menggempur kegiatan pengeboman ikan yang semakin berleluasa di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).
Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos, berkata strategi jangka panjang sedang dirangka bersama Jabatan Perikanan bagi mengekang aktiviti haram itu.
Katanya, kegiatan bot ikan bukan sahaja merosakkan ekosistem marin, malah mengancam sumber rezeki nelayan tempatan.
āKegiatan pengeboman ikan ini bukan saja memusnahkan hasil laut, tetapi turut menghancurkan terumbu karang yang menjadi khazanah negara serta tarikan utama pelancong,ā katanya
Victor berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan hormat Pengarah Jabatan Perikanan Sabah, Datin Dr Shuhadah Mustapha, di sini semalam.
Menurutnya, ESSCOM akan melaksanakan operasi bersepadu bersama beberapa agensi penguat kuasa lain di kawasan āhotspotā yang dikenal pasti menjadi tumpuan aktiviti pengeboman ikan.
āTanggungjawab membanteras kegiatan itu bukan hanya bergantung kepada agensi keselamatan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama komuniti maritim setempat untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.
āKomuniti maritim perlu jadi mata dan telinga kami supaya tindakan segera dapat diambil. ESSCOM dan Jabatan Perikanan juga akan mengadakan kempen kesedaran āKatakan Tidak kepada Bom Ikanā di beberapa lokasi tumpuan tidak lama lagi,ā katanya.
Beliau berkata, kempen itu akan mendidik masyarakat tentang bahaya dan kesan jangka panjang aktiviti pengeboman ikan terhadap kelestarian sumber laut serta ekonomi nelayan.
āKita mahu masyarakat menolak penjualan ikan yang ditangkap menggunakan bom. Malah, kita bercadang memperluaskan kempen melalui radio tempatan supaya mesej ini sampai ke semua lapisan masyarakat,ā katanya.
Sementara itu, Dr Shuhadah menzahirkan penghargaan kepada ESSCOM atas kerjasama erat dalam membanteras kegiatan bom ikan, terutama di kawasan perairan ESSZONE.
āKemusnahan ekosistem laut akibat bom ikan memberi kesan langsung kepada pembiakan ikan dan biodiversiti marin, sekali gus menjejaskan tarikan pelancongan negeri,ā katanya. – SABAH MEDIA / FOTO ESSCOM



