SANDAKAN : Sebuah rumah separuh kekal dan kereta musnah dalam satu kebakaran yang berlaku di Batu 13 di sini awal pagi tadi.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan menerima panggilan kecemasan pada jam 1.58 pagi dan jentera tiba di lokasi kejadian pada jam 2.16 pagi setelah melalui perjalanan sejauh 21 kilometer.
Menurut Komander Operasi, PBK I Alan Ayuh, kebakaran melibatkan sebuah rumah berkeluasan 80×80 kaki yang musnah 100 peratus bersama-sama sebuah kereta yang turut terbakar sepenuhnya.
Pasukan bomba mengambil masa 16 minit untuk mengawal kebakaran pada jam 2.32 pagi sebelum operasi pemadaman berjaya diselesaikan pada jam 3.27 pagi, kata Alan.
Operasi pemadaman dijalankan dengan menggunakan satu aliran hos sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan, menggunakan kaedah ‘offensive’ dan ‘defensive’. Sumber air diperoleh daripada jentera bomba dan water tanker, katanya lagi.
Sementara itu, Ketua BBP Sandakan Jimmy Lagung memberitahu bahawa tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Selepas kebakaran berjaya dipadamkan, pasukan bomba menjalankan kerja-kerja ‘overhaul’ dan pemeriksaan di sekitar kawasan bagi memastikan tiada lagi sebarang bahaya yang wujud sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya, tambah beliau. – SABAH MEDIA / FOTO JBPM



