Oleh Ahmad Husnayan
TAWAU: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Sabah terus komited memperkukuh gerakan koperasi di negeri ini dengan menyediakan pelbagai kemudahan pinjaman dan bantuan kewangan bagi meningkatkan daya saing serta keupayaan ekonomi koperasi tempatan.
Pengarah SKM Sabah, Awang Rusli Mohammad, berkata sebanyak RM30 juta diperuntukkan bagi pinjaman bercagar untuk koperasi yang layak, sebagai usaha memperkasa ekonomi masyarakat luar bandar menerusi aktiviti koperasi yang mampan dan berimpak tinggi.
Beliau berkata, kemudahan itu adalah sebahagian daripada langkah SKM membantu koperasi di Sabah mengembangkan perniagaan dan menambah aset yang mampu memberi pulangan jangka panjang kepada anggota.
“Selain pinjaman bercagar, SKM turut menyediakan pinjaman sektor keselamatan makanan (food security) dengan kadar faedah hanya 1 peratus dan jumlah maksimum RM3 juta bagi koperasi yang terbabit dalam pengeluaran makanan.
“Untuk koperasi tanpa cagaran pula, kita sediakan pinjaman sehingga RM650,000 secara berfasa, bergantung kepada keperluan dan kemampuan masing-masing,” katanya pada majlis perasmian bangunan baharu Koperasi Pembangunan Murut Kalabakan Tawau Berhad, di sini.
Bangunan dua tingkat milik koperasi berkenaan dibeli secara tunai dengan nilai RM1.6 juta, dan kini disewakan dengan kadar RM6,000 sebulan, sekali gus menjadi sumber pendapatan tetap kepada koperasi.
Awang Rusli turut menzahirkan penghargaan kepada barisan kepimpinan koperasi itu yang berjaya memiliki aset sendiri hasil usaha gigih dan pengurusan berhemah.
“Ini satu pencapaian membanggakan kerana ia membuktikan koperasi mampu berdikari dan menjana pendapatan sendiri tanpa bergantung kepada bantuan luar,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa SKM akan terus memberi bimbingan, sokongan serta turun padang membantu koperasi di seluruh negeri agar dapat bersaing dengan koperasi di Semenanjung.
“Di bawah kepimpinan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, banyak peluang baharu dibuka untuk koperasi dan usahawan Sabah bergerak lebih jauh ke hadapan.
“Sekarang bukan masa untuk leka. Koperasi perlu bangkit, ubah cara fikir dan berani melangkah keluar daripada zon selesa. SKM Sabah bersedia membantu sepenuhnya,” katanya.
Menurutnya, ketika ini terdapat 2,074 koperasi berdaftar di Sabah, termasuk 224 di Tawau, namun hanya kira-kira 60 peratus yang aktif.
“Kita tidak mahu koperasi yang hanya berdaftar atas nama semata-mata. Koperasi tidak aktif akan dibatalkan pendaftarannya kerana kita mahu gerakan koperasi benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Koperasi Pembangunan Murut Kalabakan Tawau Berhad, Asfaliza Batan, berkata pembelian bangunan baharu itu secara tunai menandakan kejayaan koperasi berkenaan bangkit semula selepas pernah dianggap tidak aktif.
“Perjuangan kami bukan sekadar mencari keuntungan segera, tetapi untuk memastikan generasi akan datang dapat menikmati hasil usaha ini,” katanya.
Beliau berkata, koperasi kini dalam perancangan memperluas kegiatan dalam sektor hartanah dan perladangan, khususnya di kawasan tanah adat masyarakat Murut di Kalabakan, bagi memanfaatkan potensi ekonomi setempat.
“Kami berharap kerajaan negeri dapat melihat semula hak masyarakat Murut di tanah adat agar ia dapat digunakan untuk pembangunan ekonomi komuniti kami sendiri,” katanya.



