PRN SABAH
HomePRNIsu 40 peratus: Hajiji optimis perbincangan dapat diselesaikan dalam tempoh 3 bulan

Isu 40 peratus: Hajiji optimis perbincangan dapat diselesaikan dalam tempoh 3 bulan

Read Time:1 Minute, 33 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA BELUD: Perkembangan positif mengenai tuntutan hak 40 peratus hasil Sabah yang dikutip oleh Kerajaan Persekutuan dibincangkan semalam antara Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) dan wakil Persekutuan, melibatkan perincian mekanisme pembayaran yang sedang dimuktamadkan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata berdasarkan perkembangan semasa, beliau optimis isu berkenaan dapat diselesaikan dalam tempoh tiga bulan sebagaimana yang ditetapkan oleh mahkamah.

“Saya dimaklumkan rundingan itu sudah dimulakan semalam menerusi perbincangan peringkat pegawai yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) bagi pihak kerajaan negeri dengan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan Malaysia mewakili kerajaan Persekutuan.

“Perbincangan yang berlangsung di Menara Kinabalu itu antara lain berkaitan mekanisme atau cara. Mereka masih berbincang, dan perbincangan ini mungkin diadakan beberapa kali sebelum mencapai persetujuan.

“Mahkamah beri tempoh 90 hari untuk rundingan. Insya-Allah, saya yakin ia boleh diselesaikan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Jelajah Kempen Rumah Kita, Kita Jaga GRS Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan dan DUN Tempasuk sempena Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah ke-17 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hajiji menjelaskan kerajaan negeri belum menetapkan jumlah khusus kerana pihaknya masih menunggu maklumat lengkap daripada Kerajaan Persekutuan.

“Kita pun tidak tahu secara terperinci berapa jumlah hasil yang dikutip di Sabah. Itu yang kita minta Persekutuan maklumkan, termasuk kategori perbelanjaan yang berada dalam tanggungjawab mereka dan apa yang termasuk dalam 40 peratus itu,” katanya.

Mengulas mengenai program jelajah hari ini, Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yakin dua kerusi calon GRS iaitu DUN Usukan diwakili Datuk Japlin Akim dan DUN Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari mampu meraih kemenangan pada pilihan raya kali ini.

“Program jelajah seperti ini memang biasa dalam kempen. Hari ini di DUN Usukan dan DUN Tempasuk, dan saya amat yakin calon yang kita tampilkan akan mendapat sokongan rakyat. Kita boleh nampak mood rakyat yang mahukan perubahan dan mahu kerajaan yang ada ini diteruskan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Ribuan umat Islam hadir solat jenazah Allahyarham Bung Moktar Radin di...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular