Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Guru yang membaca diari Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir untuk mencari petunjuk positif atau negatif mengandaikan Zara mungkin mempunyai masalah keluarga.
Saksi ke-48 dalam inkues kematian Zara, Miswati Lundu, 37, memberitahu mahkamah bahawa andaian itu dibuat hasil bacaan diari yang tidak teliti. Beliau juga mengakui bahawa andaian tersebut pernah berlegar di media sosial.
Miswati, yang bertugas sebagai guru Unit Bimbingan dan Kaunseling di SMKA Tun Datu Mustapha sejak Mac 2022 serta warden asrama sejak 2023, turut mengakui bahawa beliau bukan kaunselor berdaftar, dan hanya merupakan guru bimbingan kaunseling lantikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Peguam: Cikgu bukanlah orang yang tepat untuk buat kesimpulan tersebut
Saksi: Ini hanya andaian kami sahaja bukannya kesimpulan atau benda sebenar
Peguam: Siapa yang arahkan cikgu untuk buat andaian
Saksi: Tidak ada
Peguam: Siapa lagi yang tahu mengenai andaian ini?
Saksi: Saya tidak pasti.
Peguam: Cikgu tahukan andaian ini berlegar di sosial media
Saksi: Ya, betul
Peguam: Selain cikgu dan cikgu Yuslina ada cikgu memberitahu polis tentang andaian cikgu
Saksi: Tidak ada
Peguam: Cikgu hanya buat andaian berdasarkan diari yang dibaca dengan tidak teliti
Saksi: betul
Ketika ditanya mengapa dia membaca diari tersebut sedangkan ia barang peribadi Zara, Miswati menjelaskan bahawa mereka menjangkakan mungkin ada petunjuk penting.
Peguam: Kenapa baca sedangkan ia barangan peribadi zara
Saksi: Pada pendapat saya, pada ketika itu semua orang mencari diari. Jadi untuk kita tahu apa kandungan buku tersebut memang perlu dibaca.
Peguam: Macam mana tahu semua orang mencari diari
Saksi: …..kami beranggapan bahawa mungkin ada petunjuk dari diari itu
Peguam: Petunjuk dari segi apa?
Saksi: Dari segi emosi
Peguam: Dapatlah petunjuk dari segi emosi?
Saksi: Menurut pendapat kawan yang sudah baca diari tersebut memang ada lah petunjuk… luahan perasaan.
Peguam: Pendapat kawan ni siapa?
Saksi: Cikgu Yuslina
Peguam: Apa pendapat cikgu Yuslina lepas baca diari?
Saksi: Ada berkaitan dengan luahan hati Zara terhadap ibu dia
Peguam: Siapa lagi yang terbaca diari-diari Zara
Saksi: Saya rasa cikgu Yuslina yang ada baca dan yang lain hanya tahu secara ringkas sahaja
Peguam: Siapa yang membenarkan cikgu Yuslina baca diari tersebut
Saksi: Tidak ada yg membenarkan. Kami yang terlibat dengan siasatan boleh membaca
Peguam: Maksudnya baca diari tersebut untuk tujuan mencari petunjuk.
Saksi: Ya, betul
Peguam: Petunjuk yang bagaimana tu cikgu?
Saksi: Macam yang saya katakan tadi petunjuk dari segi emosi dia, keadaan dia
Peguam: Yang negatif atau positif?
Saksi: Dua-dua
Miswati berkata dia ada memaklumkan penemuan buku tersebut di WhatsApp group pengurusan asrama berserta dengan gambar buku tersebut. Saksi mengaku dia tidak ada memaklumkan penemuan buku-buku tersebut kepada ibu Zara. Dia tidak pasti jika guru-guru lain ada memaklumkan ibu Zara.
Pada 19 Julai, Miswati berkata beliau tergerak hati melakukan pemeriksaan rak buku di kelas Zara dan menemui 15 helaian kertas tulisan yang menyerupai tulisan Zara. Helaian kertas tersebut ditemukan diselit di sebuah buku latihan panjang kosong yang diletakkan di rak tersebut.
Saksi melihat sepintas helaian kertas tersebut dan mensyaki kertas-kertas tersebut adalah milik Zara kerana menyerupai tulisan dalam buku Zara. Saksi menyerahkan kesemua kertas tersebut kepada guru lain untuk tindakan seterusnya.
Menjawab soalan Datuk Ram Singh, beliau tidak bersetuju bahawa maklumat yang tular di media sosial sebelum prosiding inkues telah dibocorkan oleh warga sekolah.
Beliau juga menafikan bahawa beliaulah individu yang menyebarkan isi buku-buku diari tersebut di aplikasi media sosial seperti Tiktok, sambil menegaskan bahawa beliau tidak tahu bagaimana isi kandungan buku tersebut boleh terdedah di media sosial.
Mengenai keputusan telefon awam di asrama ditutup, Miswati berkata ia bagi mengelakkan pelajar-pelajar untuk memberitahu informasi yang tidak tepat kepada ibu bapa mereka.
“Para ibu bapa yang risau diminta untuk menghubungi warden, yang akan bertugas memaklumkan bahawa keadaan pelajar-pelajar adalah terkawal dan selamat dan memberikan informasi yang tepat.”



