KOTA KINABALU: Hampir 1,000 usahawan wanita di Sabah menerima bantuan peralatan daripada Kerajaan Negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) Sabah sejak 2016 sehingga kini.
Pengarah JHEWA Sabah, Haslina Ismail berkata dari 2016 seramai 927 usahawan wanita telah menerima bantuan dan ini dapat memperkukuh kemampuan mengurus serta mengembangkan perniagaan mereka secara lebih proaktif dan berdaya saing.
“Program Keusahawanan JHEWANITA menekankan pembangunan usahawan wanita yang mampan, berdaya tahan, dan mampu menyesuaikan diri. Ini bukan sahaja menyokong agenda pembangunan wanita, tetapi turut memperkukuh peranan mereka dalam ekosistem negeri Sabah.

“Melalui pelbagai aktiviti, termasuk 32 kursus kemahiran sepanjang tahun, ceramah dan sesi perkongsian pengalaman, peserta berpeluang menimba ilmu, meningkatkan kemahiran serta membina keyakinan diri dalam bidang keusahawanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Program Keusahawanan JHEWANITA Tahun 2025, di sini pada Selasa.
Program itu turut diserikan dengan kehadiran isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Faridah Tussin.
Haslina berkata, JHEWA sentiasa komited menjadi rakan strategik dalam membimbing, memantau, dan menghubungkan usahawan wanita Sabah dengan peluang perniagaan yang lebih luas.
“Ini termasuk akses kepada modal, latihan teknikal, bimbingan digital dan pasaran antarabangsa yang akan menjadi pemangkin kepada lahirnya lebih ramai usahawan wanita,” katanya.
Beliau berharap program berkenaan dapat menyediakan platform pembelajaran dan jaringan strategik bagi membantu para usahawan wanita terus berkembang dan berdaya saing.
Turut berlangsung semasa program tersebut ialah sesi ceramah dan segmen Inspirasi Keusahawanan yang disampaikan oleh Wanita Ikon Sabah 2024, Mardiana Made.



