PRN SABAH
HomeUtamaKari kepala ikan tercemar: Penjaga restoran didenda RM5,500

Kari kepala ikan tercemar: Penjaga restoran didenda RM5,500

Read Time:2 Minute, 2 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang penjaga restoran di Penampang didenda RM5,500 atau penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini kerana menjual kari kepala ikan yang didapati tercemar.

Mohamed Yakoob Mohamed Shaik Allaudeen mengaku bersalah di hadapan Majistret Marilyn Kelvin terhadap pertuduhan menjual kari kepala ikan berharga RM26 yang mengandungi bakteria Coliform pada paras 110 MPN/g, melebihi had standard yang dibenarkan.

Kesalahan itu dilakukan pada 7 Julai lalu kira-kira jam 9 pagi di premis Nasi Kandar Anak Mami the Restaurant di Bundusan, Penampang.

Berdasarkan peraturan, bacaan Coliform tidak boleh melebihi 5×10/g seperti dinyatakan di bawah Peraturan 39(3), Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 13B(1) dibaca bersama Seksyen 13B(2)(e) Akta Makanan 1983 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehinga RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya dibawah Seksyen 13B(4) dibawah Akta yang sama.

Mengikut fakta kes, dua Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran telah hadir ke premis berkenaan, menunjukkan kad kuasa dan memaklumkan bahawa rutin pensampelan makanan akan dijalankan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Dua jenis lauk yang telah siap dimasak dipilih sebagai sampel iaitu kari kepala ikan dan daging masak kicap. Sampel tersebut kemudian dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu.

Pada 17 Julai, laporan makmal mengesahkan bahawa sampel kari kepala ikan mencatatkan bacaan Coliform 110 MPN/g, melebihi piawaian di bawah Jadual Kelima Belas Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan melanggar Peraturan 39(3).

Sampel daging masak kicap pula mencatatkan 24 MPN/g, dan tiada E. coli (Escherichia Coli) dikesan.

Semasa rayuan, Yaakob yang tidak diwakili peguam memohon hukuman diringankan dan mendakwa bahawa kepala ikan yang digunakan baharu dibeli.

Pegawai pendakwa, Adeno Majus dari Unit Inspektorat dan Perundangan Jabatan Kesihatan Sabah (Pejabat Kesihatan Penampang), memohon mahkamah mengenakan hukuman lebih berat, memandangkan premis tersebut sudah mempunyai rekod aduan awam berhubung pelanggaran Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.

Aduan terdahulu melibatkan makanan yang dihidangkan tanpa penutup, terdedah kepada lalat, serta kawasan penyediaan makanan yang tidak bersih, kesemuanya melanggar keperluan penyimpanan dan pendedahan makanan di bawah peraturan berkenaan.

Menurut Adeno, aduan berulang itu menunjukkan premis berkenaan mempunyai masalah kebersihan kronik dan penemuan makmal selari dengan aduan lama, membuktikan ketidakpatuhan terhadap peraturan kebersihan merupakan amalan berterusan, bukan insiden terpencil.

“Memandangkan tertuduh telah pernah ditegur sebelum ini tetapi gagal mematuhi piawaian kebersihan, hukuman lebih tegas adalah perlu sebagai pengajaran serta amaran kepada semua pengusaha premis makanan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Pemergian Bung Moktar kehilangan besar buat UMNO dan BN – Ahmad...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular