Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Pengarah Parti Tindakan Demokratik (DAP) Datuk Chan Foong Hin mengesahkan pelancaran manifesto Pakatan Harapan Sabah (PH) ditunda ke Ahad ini.
“Penundaan itu berpunca daripada isu terjemahan dan persediaan dokumen. Saya dimaklumkan Pengerusi PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud bahawa manifesto yang dijadualkan hari ini dijadualkan semula ke Ahad ini.
“Manifesto itu digarap untuk menumpukan isu asas yang dihadapi rakyat Sabah, khususnya perkhidmatan penting seperti bekalan air dan elektrik.
“Semangat di sebalik manifesto ini tentang kembali kepada perkara asas. Rakyat Sabah berdepan cabaran utama yang nyata dan matlamat kami memastikan masalah itu ditangani secara praktikal,” katanya kepada pemberita selepas lawatan ke Kampung Torong Logong Pulau Gaya pada Rabu.
Beliau yang terlibat dalam proses menggubal dokumen itu berkata, meskipun gaya bahasa mungkin berbeza sedikit daripada versi terdahulu, mesej teras kekal sama, iaitu menangani keperluan asas serta meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Katanya, manifesto itu dirangka melalui perancangan teliti dan libat urus bagi memastikan kandungannya selari dengan aspirasi masyarakat.
“Kembali kepada asas bukan bermaksud kurang aspirasi. Ia bermaksud meletakkan keperluan rakyat Sabah sebagai keutamaan, memastikan air, elektrik, pendidikan dan perkhidmatan penting lain dapat diakses semua.
“Ini antara bidang yang paling mendesak untuk diperbaiki,” katanya.
Chan berkata, penundaan itu penting bagi memastikan ketepatan terjemahan serta memberi ruang kepada pasukan yang menyediakan pembentangan lebih menyeluruh kepada media dan orang ramai.
“Saya yakin pelancaran pada Ahad akan menyampaikan agenda PH Sabah dengan lebih jelas dan berkesan.
“Manifesto ini mewakili visi kolektif pasukan kami dan penting untuk memastikan ia sampai kepada rakyat tanpa kekeliruan.
“Penjadualan semula memastikan kami dapat membentangkannya dengan baik,” katanya.
Manifesto itu dijangka menggariskan cadangan utama serta inisiatif bagi Sabah sebagai komitmen gabungan menangani cabaran jangka pendek dan jangka panjang di negeri ini.
Pada Selasa, Mustapha memaklumkan PH akan melancarkan manifesto bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-17 (PRU17 Sabah) pada Khamis dengan fokus terhadap cadangan penubuhan dana khas untuk rakyat Sabah.
Katanya, manifesto itu akan menangani isu teras negeri dan meneruskan komitmen kerajaan Madani.
Antara cadangan utama ialah penubuhan dana khas bagi mengurus tuntutan 40 peratus hasil Sabah dengan menekankan ketelusan serta keutamaan penyelesaian isu asas negeri.



