Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bingkor Rafie Robert menyifatkan pencalonannya sebagai satu pengiktirafan besar terhadap peranan dan kemampuan generasi muda dalam kepimpinan negeri.
Menurut Rafie, peluang yang diberikan kepadanya membuktikan bahawa pucuk pimpinan negeri mengiktiraf bakat dan potensi anak muda untuk mewarisi kepimpinan pada masa hadapan.
“Sebagai orang muda, saya amat berbangga apabila dicalonkan mewakili GRS di DUN Bingkor.
“Ini bukan sahaja penghormatan kepada saya, tetapi juga kepada seluruh anak muda Sabah. Ia tanda jelas bahawa kepimpinan negeri yakin terhadap generasi muda sebagai pemimpin masa depan,” katanya.
Mengulas perkembangan awal kempen, Rafie berkata beliau menerima sambutan yang sangat memberangsangkan, khususnya daripada kelompok anak muda yang tampil menyatakan sokongan secara terbuka.
“Selepas dua hari berkempen, saya terkejut dengan sokongan yang diberikan. Ketika tempoh melobi sebelum ini, kita jarang melihat mereka di lapangan.
“Namun kini mereka tampil ke hadapan, bersama kami untuk memastikan kemenangan calon GRS di Bingkor,” jelasnya.
Beliau turut menyatakan bahawa Bingkor mungkin satu-satunya kawasan pedalaman yang menampilkan calon muda daripada GRS, sekali gus meningkatkan semangat untuk membawa perubahan lebih segar di kawasan tersebut.
Rafie menegaskan bahawa sekiranya diberi mandat, beliau komited membawa agenda pembangunan yang berpaksikan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), selain memberi tumpuan khusus kepada program-program pemerkasaan anak muda.
“Sudah pasti saya akan membawa agenda pembangunan di DUN Bingkor selaras dengan Sabah Maju Jaya. Banyak program untuk anak muda akan diperkenalkan, kerana merekalah nadi perubahan dan kemajuan di kawasan ini,” katanya. – SABAH MEDIA



