KOTA KINABALU : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengeluarkan sebanyak 22,881 kertas undi pos kepada semua yang layak untuk mengundi sebagai pengundi pos seperti yang diperuntukkan di bawah Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU DU Sabah) ke-17.
Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, pengeluaran kertas undi pos selama dua hari bermula 17 November dijalankan oleh petugas undi pos di semua 73 Bahagian Pilihan Raya Negeri.
Katanya, kesemua 22,881 kertas undi pos tersebut terdiri daripada 21,362 kertas undi pos bagi kategori 1A (Petugas Pilihan Raya, Ahli/Pegawai SPR, Anggota Polis, Anggota Tentera, dan Petugas Media), 336 kertas undi pos bagi kategori 1B (warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara), dan 1,183 kertas undi pos bagi kategori 1C (Agensi/Organisasi).
Menurutnya, proses pengeluaran kertas undi pos ini dijalankan dengan kehadiran ejen undi pos daripada parti atau individu yang bertanding.
“SPR mengingatkan kepada semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Pengisytiharan Identiti (Borang 2) serta segera mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus Dewan Undangan berkenaan sebelum jam 5 petang pada Hari Mengundi iaitu pada 29 November 2025,” katanya dalan kenyataan di sini pada Rabu.
Khairul berkata, pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial. – SABAH MEDIA



