PRN SABAH
HomePRNMandat untuk Moyog: Joeynodd garis 9 teras libatkan infrastruktur, kebajikan dan teknologi

Mandat untuk Moyog: Joeynodd garis 9 teras libatkan infrastruktur, kebajikan dan teknologi

Read Time:2 Minute, 9 Second

Oleh Florieta Diet

PENAMPANG: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog, Ir Ts Joeynodd Bansin, mengadakan walkabout di pusat komersial Donggongon hari ini sambil mengetengahkan sembilan fokus utama manifestonya bagi memperkukuh pembangunan dan kesejahteraan rakyat Moyog.

Joeynodd yang merupakan Ketua Pergerakan Belia dan Beliawanis Parti Bersatu Sabah (PBS) Moyog, berkata antara keutamaannya ialah penubuhan Jawatankuasa Khas Rakyat bagi setiap projek pembangunan, bertujuan memantau pelaksanaan agar disiapkan mengikut jadual tanpa sebarang kelewatan atau risiko projek terbengkalai.

“Saya turut menekankan isu masalah banjir sebagai isu kritikal di Moyog, dengan komitmen untuk menambah baik sistem penyelenggaraan parit melalui perancangan jangka pendek dan jangka panjang. Ini termasuk kerja-kerja penyelenggaraan lebih kerap di kawasan berisiko tinggi banjir serta kawasan baharu yang dikenal pasti mudah dinaiki air,” katanya ditemui media semasa walkabout itu.

Selain itu, Joeynodd mahu mengoptimumkan tenaga lestari dan teknologi pintar, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan kualiti hidup penduduk.

Dari segi kebajikan, beliau menggariskan inisiatif kebajikan sosial menyeluruh untuk semua lapisan masyarakat daripada peringkat kanak-kanak, belia, wanita, ibu tunggal dan warga emas supaya tiada kelompok yang terpinggir.

Menyentuh isu kesihatan, beliau menegaskan keperluan menaik taraf klinik dan pusat perubatan sedia ada di Moyog memandangkan pertambahan penduduk. Joeynodd turut memaklumkan terdapat perancangan pembinaan hospital baharu dan berjanji akan memperjuangkan projek itu bersama pihak berkuasa berkaitan.

Sebagai anak muda, Joeynodd turut memberi tumpuan kepada pemerkasaan usahawan muda, termasuk menyediakan bimbingan dan pasukan sokongan keusahawanan untuk membantu mereka berkembang dan memasuki pasaran dengan lebih berkesan.

“Kita akan bawa pasukan keusahawanan untuk membimbing mereka dan bantu mereka untuk terus maju sehingga mereka berjaya,” tambahnya.

Beliau juga menegaskan komitmen terhadap sokongan komprehensif kepada wanita, khususnya ibu tunggal dan wanita yang berdepan isu kesihatan mental, kerana wanita ialah tunjang yang membentuk peribadi dan masa depan keluarga.

Dalam aspek budaya, Joeynodd mahu memastikan adat dan budaya Kadazan Dusun terus diperkukuh, memandangkan Moyog mempunyai populasi majoriti masyarakat pribumi tersebut.

Beliau menegaskan kepentingan memelihara identiti budaya agar terus diwarisi generasi muda.

Akhir sekali, beliau menekankan potensi besar sektor pertanian dan teknologi moden, khususnya di kawasan Babagon yang terkenal dengan tanaman nanas, lengkuas dan serai.

Joeynodd berjanji menyediakan pasukan untuk membantu petani menguasai teknologi moden serta mempermudah akses terus ke pasaran tanpa melalui orang tengah.

Joeynodd, 36 tahun, berasal dari Kampung Penampang Proper, ingin berkhidmat untuk rakyat Moyog.

Pada penggal lalu, kerusi DUN ini dimenangi oleh pembangkang dan beliau berhasrat membawa teras ini untuk penambahbaikan dan pembangunan di kawasan tersebut di bawah kerajaan sekiranya diberi peluang menjadi wakil rakyat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan (DU) Sabah ke-17 ini.

RELATED ARTICLES
Utama

Bekas pengarah JANS tidak terlibat dalam tender – Saksi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular