Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Seramai 144 pelatih daripada 17 syarikat menamatkan Kursus Asas Polis Bantuan Bilangan 1 Siri 8/2025 yang berlangsung selama dua bulan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini, hari ini.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rani Alias, berkata kumpulan pelatih yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk syarikat dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia itu telah menjalani latihan intensif sejak 29 September lepas.
Beliau berkata, kursus berkenaan bukan sahaja memberi pendedahan mengenai undang-undang dan tatatertib, malah meliputi latihan operasi seperti rondaan, kawalan akses, pemeriksaan keselamatan serta kemahiran ketenteraan ringan termasuk kawad, pengendalian senjata api dan latihan menembak.
“Latihan ini membentuk anggota yang berintegriti, berdisiplin dan memahami tanggungjawab serta had kuasa mereka ketika bertugas. Uniform yang mereka pakai adalah lambang kepercayaan masyarakat dan amanah yang perlu dijunjung,” katanya ketika berucap pada majlis tamat latihan tersebut di Dataran Kawad Ibu Pejabat Polis Kepayan di sini..
Kumpulan pelatih itu turut merangkumi pelbagai kaum, iaitu 45 Melayu, 94 Bumiputera, seorang Cina, seorang India dan tiga daripada kaum lain.
DCP Abdul Rani turut merakamkan penghargaan kepada Komandan PULAPOL Kota Kinabalu, jurulatih serta warga pusat latihan yang terlibat dalam melahirkan anggota Polis Bantuan baharu, selain menzahirkan ucapan terima kasih kepada ibu bapa dan penjaga atas sokongan mereka.
Beliau mengingatkan semua pelatih bahawa tamatnya kursus bukan penamat perjuangan, sebaliknya permulaan cabaran sebenar ketika mereka ditempatkan di jabatan serta agensi di seluruh Sabah.
“Hadaptlah setiap cabaran dengan keberanian, kebijaksanaan dan ketenangan. Kekalkan semangat setiakawan yang terbina sepanjang kursus ini dan jadilah anggota yang proaktif serta mesra rakyat,” katanya.



