KOTA MARUDU: Memasuki hari kelima semalam, kempen calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandau sempena Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah ke-17 jelas membuktikan parti komponen dalam GRS iaitu USNO, PBS dan PCS turut membantu usaha kempen bagi memastikan calon GRS Bandau menang.
Ketua Bahagian USNO DUN Bandau, Azahari Amit berkata, tiada sebab dan alasan untuk menolak Calon GRS DUN Bandau, Datuk Redonah Bahanda. Penduduk di Kota Marudu pastinya amat bertuah sekiranya calon ini menang seterusnya diangkat menjadi wakil rakyat di kawasan ini.
Menurut Azahari, secara kebetulan, satu-satunya calon wanita daripada Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) ini merupakan calon nombor satu daripada 13 orang calon yang berentap merebut kerusi DUN Bandau.
” Pepatah mengatakan tangan yang lembut menghayun buaian mampu menggoncang dunia, amat bertepatan dengan Redonah, seorang wanita yang begitu teguh berjuang demi parti dan rakyat meskipun ini merupakan kali pertama beliau bertanding dalam pilihan raya. Semoga tuah menyebelahi beliau,” katanya.
Azahari menegaskan bahawa rakyat khususnya warga Kota Marudu seharusnya tidak melayan calon yang kecewa hanya kerana tidak dipilih menjadi calon mewakili parti. Tidak ada masa lagi kita mahu layan orang-orang kecewa begini, katanya.
Beliau turut menasihatkan seluruh ahlinya dan juga jentera parti dibawah GRS DUN Bandau agar menjadi tulang belakang bagi memastikan calon GRS menang. Jangan ada antara kita seperti musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan atau api dalam sekam, katanya.
Ketua Wanita Bahagian PCS DUN Bandau, Kelista Jaitin berkata, wanita di kawasan Bandau dan Kota Marudu tidak harus melepaskan peluang keemasan ini kerana pemimpin wanita yang terbaik, berkebolehan dan berjiwa rakyat kini merupakan calon GRS DUN Bandau. Calon yang wajar diangkat menjadi pemimpin.
Sementara itu, Naib 1 PBS DUN Bandau Kosman Sura berkata, isu-isu yang bermain di laman sosial disifatkan sebagai tuduhan melulu dan tuduhan yang tidak releven. Isu tersebut kalau dibidas hanya mengundang perdebatan sia-sia.
“Bagaimanapun saya berbangga dengan Redonah, kerana beliau lebihkan bekerja daripada melayan karenah pihak lawan yang jelas membuat tuduhan liar, menfitnah dan membangkitkan isu-isu tidak sepatutnya bagi menjatuhkan beliau.
” Apa yang patut diberi keutamaan ialah kesetiaan itu penting, siapapun yang dicalonkan dalam GRS, kami sokong, kami undi dan kami bantu berkempen atas kepercayaan sehingga mencapai kemenangan,” katanya.



