PRN SABAH
HomePRNBelia Ranau diseru terus sokong dasar kerajaan demi kestabilan dan kemajuan Sabah

Belia Ranau diseru terus sokong dasar kerajaan demi kestabilan dan kemajuan Sabah

Read Time:1 Minute, 54 Second

RANAU: Rakyat diseru agar terus konsisten menyokong dasar-dasar kerajaan bagi mengekalkan kestabilan politik, sekali gus memastikan Sabah terus maju dan berkembang.

Program Coffee Break with Masidi & Anak Muda Vol 3.0, anjuran sekumpulan belia di Dewan Serbaguna Muhibbah, menjadi platform bermakna untuk golongan muda mendalami dasar-dasar kerajaan negeri serta memahami inisiatif yang sedang dan telah dilaksanakan, termasuk pembangunan, bantuan pendidikan, kebajikan dan usaha kesejahteraan rakyat.

Program itu turut menampilkan penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan Datuk Seri Masidi Manjun sebagai tetamu khas, memberi ruang kepada anak muda mengemukakan soalan, berkongsi pandangan dan menyampaikan idea secara bersemuka sekali gus mengukuhkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat.

Turut hadir memeriahkan program ialah Datuk Amisah Yassin, yang dikenali sentiasa menyokong pembangunan belia dan komuniti Ranau.

Salah seorang peserta, Darrence Dallius, 30, dari Kampung Poring, berkata sumbangan Masidi sejak memimpin daerah itu amat besar dan sentiasa dirasai masyarakat.

Darrence

“Beliau tidak memilih bangsa, kaum atau agama. Setiap golongan menerima bantuan kebajikan secara sama rata. Masidi juga menyokong pelbagai NGO dan kelab, sama ada baharu atau lama, melalui dana yang banyak membantu masyarakat di sini,” katanya.

Menurut beliau, walaupun terdapat pandangan berbeza daripada sesetengah pihak, rakyat Ranau dapat melihat sendiri usaha dan komitmen Masidi melalui projek pembangunan, bantuan dan pelbagai inisiatif lain.

“Kita harus menilai berdasarkan fakta dan bukti. Hasil kerja beliau jelas dan dapat kita saksikan sendiri. Saya percaya beliau wajar diberi peluang untuk terus memimpin di DUN Karanaan kerana masih banyak perancangan untuk membangunkan Ranau dalam pelbagai aspek,” katanya.

Darrence turut mengucapkan terima kasih kepada Masidi atas usaha berterusan membangunkan Ranau, sambil mengingatkan golongan belia supaya turun mengundi demi masa depan daerah.

Jericho

Sementara itu, Jericho Noel H. Mining, 19, pelajar Tingkatan Enam di SMK Mat Salleh, turut senada dan berpendapat Masidi harus terus diberi mandat berdasarkan pengalaman luas dalam politik serta sumbangan jelas kepada Ranau.

“Peranan beliau amat penting. Tiada alasan untuk menggantikannya memandangkan pencapaiannya terbukti. Saya sendiri tidak melupakan jasa beliau yang membantu sepanjang pembelajaran saya, termasuk menyumbang dana kepada persatuan sekolah ketika saya menjadi ketua pelajar,” katanya.

Jericho menambah, bapanya sering menceritakan kebaikan dan pembangunan yang dibawa Masidi, membuatkan beliau mengenali pemimpin itu sejak kecil.

Program tersebut turut disertai belia Peranakan Tionghua serta penduduk tempatan, sekali gus memupuk semangat kerjasama dan perpaduan dalam komuniti Ranau.

RELATED ARTICLES
Utama

Bung Moktar bina kekuatan pasukan Sabah melalui kepercayaan dan dedikasi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular