Oleh Florieta Diet
TAMPARULI: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, menitipkan pesanan kepada pengundi awal yang akan menunaikan tanggungjawab mereka pada 25 November ini agar membuat pilihan yang dapat menjamin kemajuan negeri.
“Undi adalah hak demokrasi mereka. Undi itu di tangan mereka, kita beri kebebasan. Tetapi kalau tanya saya, undilah calon yang boleh membawa kemajuan bukan saja di kawasan tetapi untuk Sabah pada masa akan datang,” katanya.
Hajiji berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Kempen Jelajah Mega Tamparuli GRS yang berlangsung di tapak Tamu
Pekan Tamparuli, hari ini.
Mengulas perkembangan kempen yang setelah seminggu berlalu, beliau berkata maklum balas yang diterima sepanjang turun padang di beberapa kawasan menunjukkan calon-calon GRS–PH semakin diterima baik oleh pengundi.
“Daripada tempat-tempat yang saya berkempen, saya nampak calon-calon GRS–PH ini diterima baik oleh pengundi. Mereka pilih untuk kemajuan di masa akan datang,” katanya.
Menurut Hajiji, ramai pengundi yang ditemui turut menyatakan bahawa mereka telah memberi peluang kepada pihak lain pada pilihan raya lalu, namun kini mahukan kerajaan GRS kembali diberi mandat.
“Mereka cakap mereka sudah beri peluang kepada yang lain-lain, jadi mereka mahu kerajaan GRS ini untuk lima tahun akan datang,” katanya.



