Oleh Florieta Diet
PENAMPANG: Masalah jalan kampung rosak, lampu jalan tidak berfungsi, serta balai raya uzur menjadi antara isu utama yang dibangkitkan penduduk Moyog sepanjang minggu pertama tempoh berkempen, kata calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Ir Ts Joeynodd Bansin.
Menurut beliau, sepanjang turun padang dari Kampung Togudon sehingga Kampung Sugud, penduduk menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan prasarana asas yang semakin merosot dan memerlukan perhatian segera.
“Banyak kampung mengadu jalan raya mereka rosak teruk. Ada juga kawasan yang gelap pada waktu malam kerana lampu jalan sudah lama tidak diselenggara atau tidak dipasang langsung. Selain itu, banyak balai raya berada dalam keadaan tidak terjaga, lampu rosak, pintu pecah dan tidak sesuai digunakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat lawatan ke Pusat Media Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan (DU) Sabah di Hotel Majulan, di sini, hari ini.
Joeynodd berkata, isu tersebut akan menjadi keutamaannya sekiranya diberi mandat oleh pengundi pada PRU DU Sabah ke-17.
“Saya sudah jelaskan kepada penduduk…bantulah saya pada hari mengundi. Jika diberi peluang, saya akan pastikan semua permintaan itu dilaksanakan. Ini komitmen saya kepada rakyat Moyog,” katanya.
Mengulas sentimen “tolak GRS” yang tular di media sosial, Joeynodd menegaskan bahawa gerakan itu tidak menggambarkan suasana sebenar di lapangan, sebaliknya hanya cubaan pihak tertentu memainkan isu politik.
“GRS adalah gabungan parti lokal, PGRS, PBS, USNO, LDP PCS dan Parti Harapan Rakyat Sabah. Jadi tidak ada alasan untuk menolak GRS kerana semua komponen memahami keperluan rakyat Sabah. Bagi saya, seruan di media sosial itu hanyalah propaganda kerana mereka tidak dapat menyerang prestasi GRS,” katanya.
Beliau berkata kerajaan GRS telah menunjukkan keprihatinan terhadap rakyat, termasuk bantuan tunai RM1,000 kepada keluarga terjejas banjir baru-baru ini.
“Sebelum ini belum pernah ada bantuan seperti itu. Ini bukti bahawa kerajaan GRS responsif dan bertanggungjawab,” katanya.
Dalam pada itu, Joeynodd menyeru pengundi muda Moyog agar memberikan peluang kepada kepimpinan belia membawa perubahan baharu di kawasan berkenaan.
“Saya ada pasukan yang kuat dan anak muda yang bersemangat mahu membantu Moyog. Sudah tiba masanya kita memberi ruang kepada orang muda untuk membuktikan kemampuan mereka,” katanya.



