PRN SABAH
HomePRNN.17 DARAUPRU Sabah : Majlis Pengurusan Komuniti dijadikan mekanisme baru selesai aduan -...

PRU Sabah : Majlis Pengurusan Komuniti dijadikan mekanisme baru selesai aduan – Razali Razi

Read Time:1 Minute, 43 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau Datuk Mohamed Razali Razi mahu Majlis Pengurusan Komuniti dijadikan sebagai mekanisme baharu bagi menyelesaikan pelbagai aduan penduduk di kawasan perumahan yang selama ini tidak mendapat perhatian secara sistematik.

Katanya, majlis itu merupakan antara manifesto yang akan diperjuangkan beliau apabila diberi mandat selepas Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17 (PRU Sabah).

Menurutnya, aduan dan masalah yang dibangkitkan oleh penduduk sering berlaku, namun pendekatan yang digunakan selama ini terlalu bersifat ‘ad-hoc’, tanpa perancangan jangka panjang atau badan khas untuk menyalurkan isu tersebut kepada pemimpin.

“Kita dengar banyak keluhan hari ini (semalam), tetapi tiada solusi. Sebab itu kita mahu bentuk satu majlis khas yang menjadi perantara antara pemimpin dan semua residen taman termasuklah kampung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Ramah Mesra Calon GRS DUN Darau di Taman Permainan Awam Taman Kingfisher Millenium di sini pada Ahad.

Razali berkata, melalui majlis tersebut, semua masalah akan dikumpul, didata dan dirancang secara teratur sebelum dibawa ke peringkat seterusnya untuk tindakan menyeluruh dalam tempoh lima tahun.

“Ini akan menjadi ‘report card’ kita. KPI kita bukan lagi berdasarkan aduan ‘ad-hoc’, tetapi perancangan lima tahun yang jelas untuk setiap taman,” jelasnya.

Razali atau lebih dikenali sebagai Datuk Bob berkata, cadangan ini adalah sebahagian daripada manifestonya untuk seluruh kawasan DUN Darau yang merangkumi kampung dan taman perumahan.

“Manifesto kita meliputi semua, bukan hanya kampung. Masalah sekarang, penduduk taman tiada akses kepada pemimpin dan tiada satu badan rasmi untuk menyuarakan isu mereka,” katanya.

Untuk komuniti kampung, beliau menjelaskan konsepnya hampir sama melalui pembentukan Majlis Pengurusan Komuniti, yang akan menyelaras isu di peringkat kampung dengan struktur lebih moden.

Bagi memperkemas penyampaian, Razali turut merancang untuk mewujudkan ‘hotline digital’ yang membolehkan aduan dihantar terus ke pusat aduan.

“Hotline ini akan menggunakan sistem digital. Kita akan wujudkan dashboard yang dipantau satu atau dua pegawai. Sistem sudah ada, cuma perlu orang yang memantau,” katanya.

Beliau percaya penggunaan teknologi akan memudahkan penduduk melaporkan isu dan memastikan maklumat tidak hilang seperti sebelum ini.- SABAH MEDIA 

RELATED ARTICLES
Utama

Pemergian Bung Moktar kehilangan besar buat UMNO dan BN – Ahmad...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular