Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Prosiding inkues kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir diteruskan, walaupun sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) dilaporkan telah memfailkan permohonan semakan kehakiman (Judicial Review) untuk menghentikannya.
Dalam satu kenyataan, pasukan guaman ibu Zara berkata mereka belum menerima sebarang dokumen rasmi berhubung permohonan NGO tersebut dan menegaskan bahawa prosiding inkues akan berjalan seperti biasa di Mahkamah Koroner mengikut undang-undang sedia ada.
“Pasukan guaman mengambil maklum mengenai tindakan satu NGO luar yang difahamkan telah memfailkan permohonan Judicial Review (JR) untuk menghentikan prosiding inkues.
“Setakat ini, pihak kami belum menerima salinan rasmi permohonan tersebut, dan prosiding inkues diteruskan seperti biasa mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada di Mahkamah Koroner,” kata pasukan guaman pada Isnin.
Pasukan guaman itu turut menegaskan bahawa keluarga tidak pernah memberi kebenaran atau arahan kepada mana-mana pihak untuk memfailkan permohonan bagi menghentikan prosiding berkenaan.
Pasukan guaman juga menegaskan bahawa anak guam mereka tidak pernah memberikan kebenaran atau arahan kepada mana-mana pihak untuk memfailkan sebarang permohonan berkaitan prosiding ini.
“Oleh itu, apa-apa tindakan atau permohonan yang dibuat tanpa mandat daripada anak guam atau Pasukan Peguam adalah tidak selari dengan kepentingan anak guam kami dan tidak mencerminkan pendirian keluarga.”
Pasukan peguam memaklumkan kepada orang awam bahawa prosiding inkues tidak melambatkan keadilan untuk Zara. Sebaliknya, inkues telah membantu merakam dan menjelaskan beberapa fakta penting sebelum bermulanya prosiding jenayah di Mahkamah Kanak-Kanak.
“Antaranya, peristiwa pada malam 15 Julai, termasuk keadaan emosi Zara semasa dan selepas dipanggil oleh pelajar senior; fakta berhubung diari Zara, termasuk isu diari dibaca, disalin, diimbas dan dikongsi, serta ketiadaan warden bertugas pada malam kejadian; dan almari Zara yang diselongkar bagi tujuan “spot check” tanpa kehadiran Zara.”
“Pasukan Peguam akan terus memantau semua perkembangan ini dan memastikan proses inkues dijalankan secara teratur, profesional, dan bebas daripada sebarang cubaan campur tangan pihak luar.”
Pasukan guaman itu berkata mereka akan terus memantau segala perkembangan dan memastikan inkues berlangsung secara teratur, profesional dan bebas daripada campur tangan pihak luar.
Pada 21 November lalu, media melaporkan bahawa Pertubuhan Kebajikan Ekonomi Semangat Bersatu Malaysia (Pembela) memfailkan permohonan untuk menghentikan inkues Zara yang sedang berjalan kerana mereka mendakwa bahawa inkues itu diadakan mengikut Kanun Tatacara Jenayah dan bukannya Ordinan Inkues negeri 1959.
Dalam satu kenyataan, presiden NGO Sabah itu, Dr Mohammad Jeffry Rosman, berkata prosiding itu, memandangkan ia tidak dijalankan mengikut Ordinan negeri, telah melanggar Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Susulan itu, mereka memohon perintah Mahkamah Tinggi untuk membatalkan keseluruhan prosiding inkues, mengisytiharkan inkues mesti dijalankan di bawah Ordinan Inkues negeri dan menegakkan hak perundangan dan perlembagaan Sabah di bawah MA63.
Tambahnya, permohonan itu difailkan untuk melindungi integriti sistem perundangan negeri dan untuk memastikan inkues ke atas kematian Zara dijalankan secara sah, telus dan mengikut undang-undang Sabah.
Pasukan guaman ibu Zara terdiri daripada Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan Mohd, Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James.



