PRN SABAH
HomeUtamaBekas pengarah JANS tidak terlibat dalam tender – Saksi

Bekas pengarah JANS tidak terlibat dalam tender – Saksi

Read Time:2 Minute, 42 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen hari ini dimaklumkan bahawa bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Ag Tahir Mohd Talib, tidak pernah terlibat dalam penyediaan, pemprosesan atau membuat keputusan berkaitan tender.

Wong Kok Vui @ Michael, 69, saksi pendakwaan ke-35, dipanggil semula untuk memberi keterangan tersebut sebagai saksi pembelaan di hadapan Abu Bakar Manat.

Wong berkata kebanyakan kerja yang dipohonnya melalui JANS adalah melalui proses tender di peringkat bahagian dan daerah, dan bukan di peringkat ibu pejabat JANS.

Beliau turut bersetuju dengan peguam bahawa Ag Tahir tidak terlibat dalam membuka atau menguruskan tender di peringkat bahagian dan daerah.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Datuk Ansari Abdullah.

Ansari: Kamu ada menyatakan kebanyakan kerja ini kamu pohon melalui proses tender?
Wong: Memang melalui proses tender.

Ansari: Semua kerja yang kamu dapat dari 2004 hingga 2016 adalah melalui proses tender di peringkat bahagian dan daerah, dan bukan di ibu pejabat JANS?
Wong: Ya, betul.

Ansari: Setuju bahawa Ag Tahir tidak terlibat dalam membuka dan menguruskan tender di bahagian atau daerah?
Wong: Setuju.

Ansari: Dalam erti kata lain Ag Tahir tidak terlibat dalam menyediakan tender mahupun memproses atau memutuskan tender yang kamu masukkan.
Wong: Tidak terlibat.

Ag Tahir, isterinya Fauziah Ag Piut, dan bekas timbalan pengarah Lim Lam Beng kini dibicarakan atas beberapa pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM61.57 juta, serta pemilikan barangan mewah secara tidak sah antara Oktober dan November 2016.

Menjawab soalan lain, Wong mengesahkan bahawa untuk daerah Papar beliau tidak berurusan dengan Jurutera daerah tetapi dengan Teo.

Ansari: Jadi ini menunjukkan Teo bukan saja kuasai KK tapi juga Papar
Wong: Mula-mula tidak, tapi selepas itu dengan Teo.

Ketika ditanya sama ada beliau adalah “macai” atau proksi Ag Tahir seperti didakwa saksi pendakwaan ke-29, Teo Chee Kong, Wong menjawab: “Tidak, cuma kawan saja.”

Ansari: Adakah ini bermakna saksi ke-29 berbohong di mahkamah?
Wong: Itu saya kurang pasti.

Ansari: Teo mendakwa kamu diarahkan oleh Ag Tahir dan beliau merupakan rakan kongsi kamu, sekali gus menjadikan kamu proksinya.
Wong: Tidak. Saya sudah membuat penjelasan ketika memberi keterangan pada bulan Mei.

Mengenai dakwaan potongan komisen yang diminta Teo, Wong menegaskan beliau tidak pernah membincangkannya dengan Ag Tahir.

“Kami ikut keputusan komisen yang diputuskan oleh Jurutera Daerah dan Jurutera Bahagian,” katanya.

Ansari: Teo menyatakan bahawa sekitar Ogos 2003, kamu meminta RM500,000 daripadanya untuk diserahkan kepada Ag Tahir. Saya katakan perkara itu tidak benar, setuju atau tidak?
Wong: Itu saya tidak ingat lagi.

Ansari: Semua wang yang kamu serahkan kepada Ag Tahir adalah bahagian keuntungan beliau sebagai rakan kongsi, dan bukan komisen.
Wong: Tidak setuju. Itu hanya ‘return thanks’.

Ansari: Apa maksud ‘return thanks’?
Wong: Hanya untuk mengucapkan terima kasih supaya saya boleh terus mendapat kerja baharu pada masa akan datang.

Semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Zander Lim, Wong menjelaskan bahawa kenyataannya, “supaya saya boleh terus mendapat kerja baharu pada tahun-tahun akan datang,” dibuat kerana Ag Tahir, menurut beliau, mempunyai kuasa mengagihkan kerja bagi semua bahagian dan daerah.

Pada 25 Mei, Wong memberi keterangan bahawa Ag Tahir hanya akan berkata “terima kasih” setiap kali beliau (Wong) memberikan wang kepadanya. Teo ialah Ketua Jurutera Air Bahagian Kota Kinabalu dan kemudian menjadi timbalan pengarah JANS selepas Lim.

Perbicaraan akan bersambung semula pada 14-16 tahun hadapan.

RELATED ARTICLES
Utama

Inkues Zara bersambung tahun hadapan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular