HomeUtamaProjek Pekan Baharu Penangah diluluskan, pacu ekonomi Tongod bermula 2026

Projek Pekan Baharu Penangah diluluskan, pacu ekonomi Tongod bermula 2026

Read Time:1 Minute, 27 Second

TONGOD: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan pelaksanaan projek Pekan Baharu Penangah di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang dijadual bermula awal Januari tahun depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, projek pembangunan bercampur itu termasuk dalam Belanjawan Negeri 2026 bernilai RM6.9 bilion yang dibentangkan pada persidangan DUN, 12 Disember lalu.

Beliau berkata, Pekan Baharu Penangah dijangka menjadi pemangkin ekonomi penduduk setempat, khususnya dengan kedudukannya yang strategik berhampiran projek pembinaan kilang simen yang dijangka beroperasi pada penghujung 2026.

“Pembangunan ini diyakini mampu merangsang pertumbuhan ekonomi setempat dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Sambutan Krismas Zon Penangah, semalam.

Menurut Masiung, sebanyak RM3 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja awal melibatkan pengukuran tapak seluas kira-kira 200 ekar, pembinaan jalan masuk, kerja tanah serta sistem perparitan.

Beliau berkata, pembangunan Pekan Baharu Penangah akan dilaksanakan secara berperingkat menerusi kerjasama strategik Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) selaras dengan pelan Sabah Maju Jaya (SMJ).

Katanya, lokasi pembangunan yang berhampiran kilang simen di Kampung Kawayoi, yang dijangka menawarkan kira-kira 1,000 peluang pekerjaan, berpotensi membuka lembaran baharu kepada daerah Tongod yang tersenarai antara 10 daerah termiskin di Malaysia.

Selain itu, Masiung memaklumkan bahawa di bawah RMK-13, projek pembinaan pekan baharu Tongod kini sedang berjalan, manakala projek Kompleks Sukan Tongod yang sebelum ini terhenti akan diteruskan.

Sementara itu, Sambutan Krismas Zon Penangah yang berlangsung meriah itu menarik kehadiran lebih 2,000 pengunjung dengan pelbagai acara termasuk pertunjukan bunga api dan persembahan nyanyian oleh penghibur tempatan seperti Datuk Francis Landong, George Lian dan Asimin Pugug.

Turut hadir memeriahkan sambutan ialah Penguasa Paroki St John Penangah, Paderi Andreas Barnabas; Penguasa Gereja Tampasak dan Imbak, Paderi Masri Raimiee; serta Paderi Habis Olui.

RELATED ARTICLES
Utama

SEDCO Sumbang RM10 Juta Kepada Kerajaan Negeri

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular