HomeUtamaJakiy Tayan wakafkan tanah, ringankan beban belia miliki rumah

Jakiy Tayan wakafkan tanah, ringankan beban belia miliki rumah

Read Time:2 Minute, 17 Second

Oleh J Evachel John

PAITAN: Keinginan untuk membantu orang lain tidak pernah luntur dalam diri Jakiy Tayan.

Berasal dari Kg Tangkarason, Paitan, beliau kini membawa satu lagi misi kemasyarakatan yang menyasarkan golongan belia, dengan memberi peluang kepada mereka untuk memiliki rumah di atas tanah milik sah sendiri, satu keperluan asas yang masih sukar dicapai oleh ramai generasi muda luar bandar.

Menerusi misi kebajikannya bagi tahun ini, Jakiy menyediakan tapak Rumah Mesra Rakyat (RMR) berukuran 60 kaki x 60 kaki untuk 30 peserta belia terpilih, di atas tanah miliknya sendiri.

Tapak perumahan yang disediakan.

Beliau menjelaskan bahawa sebagai pemilik tanah, inisiatif tersebut melibatkan pemecahan lot serta pemindahan hak milik secara rasmi, yang menuntut kos, masa dan urusan pentadbiran.

Langkah ini diambil sebagai satu bentuk khidmat bakti, bagi memastikan belia yang terpilih benar-benar memiliki tapak rumah atas nama mereka sendiri, sekali gus memberi jaminan kepada masa depan mereka.

“Saya ingin melihat masyarakat mempunyai rumah sendiri dan rumah itu dibina di atas tanah yang benar-benar atas nama mereka selepas saya memindahkan hak milik lot tersebut.

“Ramai yang kelihatan seolah-olah mempunyai tanah, tetapi hakikatnya tanah itu berada dalam kelulusan atau milik pihak lain,” katanya kepada Sabah Media.

Permohonan bagi menyertai inisiatif ini dibuat secara terbuka dan tidak terhad kepada penduduk Kg Tangkarason atau mana-mana kaum tertentu. Namun, Jakiy menegaskan keutamaan akan diberikan kepada belia yang benar-benar memerlukan, khususnya mereka yang langsung tidak mempunyai tapak rumah di mana-mana.

“Yang paling utama, mereka yang dipilih mesti benar-benar memerlukan dan tidak mempunyai tapak rumah. Memiliki lot tapak rumah adalah asas paling penting sebelum sesebuah rumah boleh dibina,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa selepas tapak disediakan dan hak milik dipindahkan, peserta terpilih boleh membuat permohonan bantuan perumahan mengikut kelayakan masing-masing.

“Jika sudah ada tapak, barulah permohonan boleh dibuat. Bagi mereka yang tersenarai dalam eKasih, mereka boleh memohon skim bantuan perumahan seperti Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ), namun sasaran utama inisiatif ini adalah Rumah Mesra Rakyat (RMR),” katanya.

Jakiy sebelum ini dikenali kerana mewakafkan tanah bagi pembinaan Klinik Kesihatan Tangkarason, selain tanah perkuburan Islam serta sebuah gereja Anglikan, yang mencerminkan semangat perpaduan dan keikhlasan beliau dalam berbakti kepada masyarakat.

Bagi beliau, pemilikan rumah dan tanah merupakan asas penting kepada kestabilan sosial serta ekonomi komuniti.

Jakiy menyifatkan usaha terbaharu ini sebagai sambungan kepada komitmennya selama ini dalam memperjuangkan kebajikan masyarakat, termasuk kejayaannya membantu penyukatan tanah melibatkan 350 keluarga di Kg Tangkarason menerusi Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS).

“Saya bukan orang berpangkat. Saya cuma mahu tinggalkan sesuatu yang memberi manfaat berpanjangan kepada masyarakat,” katanya.

Untuk rekod, Kg. Tangkarason sebelum ini berada di bawah daerah Beluran, salah satu daripada 10 daerah termiskin di Malaysia. Pada Ogos 2024, Daerah Kecil Paitan telah dinaiktaraf ke status daerah penuh.

RELATED ARTICLES
Utama

Kundasang berpotensi jadi destinasi peancongan rekreasi berasaskan alam

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular