HomeIsu tempatanWakaf tanah demi kemajuan, Jakiy Tayan inspirasi komuniti

Wakaf tanah demi kemajuan, Jakiy Tayan inspirasi komuniti

Read Time:2 Minute, 53 Second

Oleh J. EVACHEL JOHN

KOTA KINABALU: Tiada istilah tamak dalam kamus hidupnya. Bagi Jakiy Tayan, kesejahteraan hidup bukan terletak pada kemewahan individu, tetapi pada manfaat yang dapat dinikmati bersama oleh seluruh komuniti.

Berasal dari Kg Tangkarason, Paitan, Jakiy menyimpan impian besar untuk melihat kampungnya itu membangun dalam pelbagai aspek termasuklah kemudahan asas yang lebih baik. Namun, impian itu bukan sekadar kata-kata; beliau sendiri menjadi pemacu utama ke arah perubahan tersebut.

Pada tahun 1982, Jakiy mewakafkan tanah seluas lima ekar bagi pembinaan Klinik Kesihatan Tangkarason, satu inisiatif penting yang memberi akses rawatan kepada penduduk kampung dan kawasan sekitar.

Sebuah klinik kayu akhirnya didirikan, namun tragedi menimpa pada 15 Februari 2024 apabila klinik yang telah berkhidmat selama berdekad-dekad musnah dalam kebakaran. Keadaan menjadi lebih sukar apabila pembinaan semula tidak dapat dilakukan kerana tanah itu belum diwartakan secara rasmi.

Tidak mahu penduduk terus berdepan kesukaran mendapatkan rawatan, Jakiy segera membantu Jabatan Kesihatan memohon pewartaan tanah tersebut atas nama Suruhanjaya Tanah Persekutuan. Usahanya berhasil, dan pada 9 Mei 2024, pembinaan klinik baharu dimulakan.

Hasil usaha gigihnya, dengan sokongan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah merangkap ADUN Sugut, Datuk James Ratib, klinik baharu itu bakal beroperasi semula, sekali gus mengembalikan perkhidmatan kesihatan kepada ribuan penduduk.

“Saya tahu bagaimana rasanya hidup dalam kesusahan. Tidak mempunyai kenderaan untuk keluar dari kampung bagi mendapatkan rawatan juga merupakan satu kesukaran. Jika sedikit sumbangan dapat mempermudah kehidupan seseorang, itu sudah cukup bagi saya,” katanya.

Tidak hanya mewakafkan tanah untuk klinik, Jakiy seorang penganut Kristian juga memperlihatkan ketulusan dan perpaduan sejati dalam tindakannya.

Pada tahun 2022, beliau mewakafkan dua ekar tanahnya untuk tanah perkuburan Islam. Dua tahun kemudian, pada 2024, beliau sekali lagi mewakafkan dua ekar tanah, kali ini untuk pembinaan sebuah gereja Anglikan.

Tindakannya bukan sahaja mencerminkan kemurahan hatinya, tetapi juga nilai perpaduan yang semakin pudar dalam dunia hari ini.

Selain menyumbang tanah untuk pembangunan, Jakiy turut berjuang selama lima tahun menguruskan penyukatan tanah penduduk Kg Tangkarason melalui Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS).

“Saya telah menguruskan hal ini sejak tahun 2019, dan pada tahun 2024, ia akhirnya diluluskan dengan keluasan 3,261 ekar, melibatkan 350 lot untuk 350 keluarga,” katanya.

Tidak cukup dengan membantu kampung sendiri, beliau turut membantu masyarakat luar dalam urusan berkaitan tanah tanpa mengenakan sebarang bayaran.

“Tanah adalah sumber kehidupan. Jika kita ada tanah sendiri, kita boleh bertani dan menjana pendapatan,” katanya yang aktif menganjurkan program kebajikan seperti kempen derma darah dan aktiviti kemasyarakatan,” ujar Jakiy.

Meskipun telah banyak berbakti, bagi Jakiy, perjuangannya belum selesai.

“Masih banyak yang perlu saya lakukan di kampung ini. Saya harap dapat membangunkan pusat pelancongan belia dan mewujudkan hab perniagaan dalam satu Kawasan dalam tanah saya bagi membantu ekonomi penduduk kampung.

“Saya hanya orang biasa yang tidak punya pangkat mahupun kuasa. Selagi saya mampu, saya akan terus berbakti. Doakan saya agar hasrat ini dapat direalisasikan,” katanya.

Namun, di sebalik kerja sukarelawan yang digerakkan, besar harapan Jakiy agar pihak berwajib dapat mempermudah urusan semua pihak demi menjaga kebajikan rakyat.

“Saya berharap suatu masa nanti akan ada bekalan air bersih di kampung ini dan ada jalan raya kampung yang menghubungkan jalan raya utama (Jalan Sapi-Nangoh-Kanibongan-Pitas) kerana penduduk masih bergantung kepada laluan ladang syarikat kelapa sawit berpagar yang hanya dibuka dari jam 6 pagi hingga 10 malam,” katanya.

Terletak lima jam perjalanan dari Kota Kinabalu, Kampung Tangkarason sebelum ini berada di bawah daerah Beluran, salah satu daripada 10 daerah termiskin di Malaysia. Pada Ogos 2024, Daerah Kecil Paitan telah dinaiktaraf ke status daerah penuh.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

57 pelajar tingkatan lima sertai Program Kelas Bimbingan STEM Living Lab...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular