HomeUtama86 premis penginapan di Semporna diberi tempoh tiga bulan mohon lesen

86 premis penginapan di Semporna diberi tempoh tiga bulan mohon lesen

Read Time:1 Minute, 45 Second

KOTA KINABALU : Sebanyak 86 premis penginapan di daerah Semporna yang masih beroperasi tanpa lesen diberi tempoh tiga bulan untuk menyelesaikan permohonan lesen masing-masing.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Dr Andi Rizal berkata, kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan yang akan dilaksanakan secara bersepadu.

Katanya, sebanyak 190 premis penginapan telah dikenal pasti beroperasi di Semporna, dengan hanya 45 premis telah dilesenkan sepenuhnya, manakala 59 premis masih dalam proses permohonan lesen.

“Sehubungan itu, pihak Kementerian menetapkan tempoh selama tiga bulan kepada kesemua  86 premis penginapan yang belum berlesen untuk menyelesaikan permohonan lesen masing-masing  dan  mematuhi sepenuhnya keperluan perundangan serta garis panduan yang ditetapkan.

“Kegagalan berbuat demikian selepas tempoh tersebut akan menyebabkan tindakan selanjutnya diambil oleh pihak berkuasa melalui mekanisme penguatkuasaan yang akan dilaksanakan secara bersepadu,” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Khas (Taskforce) bagi menangani isu pelancongan di daerah Semporna sebagai langkah proaktif memperkukuh tahap keselamatan serta keyakinan pelancong domestik dan antarabangsa.

Mesyuarat itu turut telah mengenal pasti beberapa isu utama yang memerlukan perhatian segera khususnya berkaitan pelesenan premis penginapan, aspek keselamatan serta pematuhan terhadap arahan dan Prosedur Operasi Standard (SOP).

Andi berkata, pihak Kementerian akan menggumpul semua SOP berkaitan keselamatan pelancongan yang melibatkan pelbagai agensi penguatkuasa dan teknikal.

Katanya, SOP-SOP yang telah diselaraskan itu akan diterbitkan dan boleh diakses secara terbuka melalui laman sesawang rasmi Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekuat (KePKAS) bagi memastikan kefahaman yang jelas serta pematuhan menyeluruh oleh pengusaha industri pelancongan dan pihak berkepentingan.

“Selain itu, KePKAS juga akan melaksanakan operasi bersepadu dalam masa terdekat dengan kerjasama agensi-agensi penguatkuasa dan pihak berkuasa tempatan khususnya bagi memastikan pematuhan terhadap pelesenan, SOP keselamatan serta tahap keselamatan pelancong sentiasa berada pada tahap yang ditetapkan.

“KePKAS komited untuk memastikan daerah Semporna kekal sebagai destinasi pelancongan yang selamat, teratur dan berdaya saing selaras dengan usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam memelihara imej pelancongan Sabah di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Tahap keselamatan di daerah Semporna adalah terjamin dan berada dalam keadaan terkawal sekaligus menjadikannya destinasi pelancongan yang selamat untuk dikunjungi,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO PEJABAT PEMBANTU MENTERI

RELATED ARTICLES
Utama

Kemasukan pelabur pacu pertumbuhan ekonomi, jana pekerjaan berkemahiran tinggi di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular