HomeUtamaSegera bekal dan ganti peralatan sekolah yang rosak - James

Segera bekal dan ganti peralatan sekolah yang rosak – James

Read Time:1 Minute, 21 Second

KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) diarah untuk mengambil tindakan segera bagi membekal dan menggantikan semua peralatan sekolah yang rosak akibat banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Rampayan, Manggatal sebelum sesi persekolahan bermula Isnin ini.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk James Ratib berkata, sekolah berkenaan dilihat terjejas teruk akibat banjir yang berlaku sejak beberapa hari lalu.

Situasi itu katanya telah mengakibatkan kerosakan kepada kemudahan asas termasuk meja, kerusi serta peralatan teknologi maklumat (ICT).

“Saya telah pun mengarahkan JPNS supaya mengganti segera dan membekalkan lebih kurang 300 meja dan juga kerusi kepada murid-murid yang akan memulakan sesi persekolahan Isnin ini.

“Begitu juga dengan bilik guru yang mana ada lebih kurang 10 buah komputer beserta pencetak untuk kegunaan bilik guru yang turut terjejas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat dan meninjau keadaan SK Rampayan yang dilanda banjir baru-baru ini.

James berkata, bilik guru sekolah berkenaan turut mengalami kerosakan serius dimana sekitar 40 set meja dan kerusi baharu diperlukan bagi memastikan keselesaan serta kelancaran tugas pendidik.

Beliau berkata, arahan itu adalah bagi memastikan semua peralatan dapat dihantar dan dipasang sebelum pembukaan sekolah, demi kesejahteraan murid dan guru.

“Saya mahu semua keperluan ini disegerakan. Keutamaan kita ialah memastikan murid dapat kembali ke sekolah dalam keadaan selesa dan selamat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan JPNS atas tindakan pantas memantau situasi, selain kerjasama pihak Pejabat Pendidikan Daerah, bomba, polis serta penduduk kampung yang bergotong-royong membersihkan kawasan sekolah.

Beliau menegaskan pemantauan akan diteruskan dan tidak menolak kemungkinan sekolah-sekolah lain yang terjejas banjir turut menerima bantuan segera selepas lawatan susulan dilakukan. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Kemasukan pelabur pacu pertumbuhan ekonomi, jana pekerjaan berkemahiran tinggi di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular