KUALA LUMPUR: Inisiatif Dapur Siswa yang disalurkan oleh Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) membantu meringankan kos sara hidup pelajar Sabah yang melanjutkan pengajian di Universiti Malaya (UM), khususnya dari segi keperluan makanan harian.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, berkata program berkenaan merupakan antara usaha berterusan kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan pelajar negeri itu yang menuntut di luar Sabah
Beliau berkata, bantuan dapur siswa yang disampaikan merangkumi keperluan asas dapur dan makanan, sekali gus membantu pelajar mengurangkan perbelanjaan harian agar dapat memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pengajian.
“Melalui inisiatif ini, kerajaan negeri berharap pelajar tidak terlalu terbeban dengan kos makan, sekali gus memastikan kebajikan mereka sentiasa terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Mahabbah Pelajar Sabah UM yang turut melibatkan kerjasama Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan beberapa agensi berkaitan.
Mohd Arifin yang juga Exco Agama Sabah berkata, selain dapur siswa, kerajaan negeri melalui pelbagai agensi turut menyediakan bantuan pendidikan lain termasuk biasiswa, dermasiswa dan sokongan kewangan bagi memastikan anak-anak Sabah tidak tercicir dalam pelajaran akibat kekangan kewangan.
“Inisiatif dapur siswa ini mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan pelajar dan menjadi antara langkah penting dalam melahirkan generasi berpendidikan yang mampu menyumbang kepada pembangunan Sabah pada masa hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada UM, khususnya Akademi Pengajian Islam, atas peluang yang diberikan kepada pelajar Sabah apabila seramai 50 orang pelajar diterima masuk setiap tahun hasil memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai sejak tahun lalu.
Beliau memaklumkan, kerajaan negeri juga merancang untuk memperluaskan kerjasama dengan UM melalui penganjuran kursus jangka pendek dan program akademik yang boleh dibawa ke negeri Sabah pada masa akan datang.
Sebagai tambahan, Mohd Arifin turut memaklumkan bahawa Ketua Menteri Sabah dijangka menghadiri majlis berbuka puasa bersama lebih 2,000 mahasiswa Sabah sempena bulan Ramadan akan datang, sebagai tanda keprihatinan berterusan terhadap kebajikan pelajar negeri itu. – SABAH MEDIA



