HomeUtamaSandakan, Beluran berisiko banjir sehingga Isnin

Sandakan, Beluran berisiko banjir sehingga Isnin

Read Time:1 Minute, 5 Second

KOTA KINABALU: Beberapa daerah di Sabah dijangka akan berdepan risiko banjir berikutan amaran hujan berterusan tahap waspada yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia mengeluarkan ramalan awal banjir di Sabah bagi tempoh tiga hari bermula hari ini sehingga 2 Februari.

Menurut PRABN, notis yang dikeluarkan jam 7 pagi pada Jumaat itu adalah bagi memaklumkan kemungkinan banjir di kawasan lembangan sungai serta kawasan rendah yang berisiko banjir.

Antara kawasan yang terlibat ialah Bahagian Sandakan, melibatkan daerah Kinabatangan di Lembangan Sungai Kinabatangan, Sungai Labuk dan Sungai Suan Lamba, serta daerah Beluran di Lembangan Sungai Kolapis dan Sungai Sapi.

Turut berisiko ialah Bahagian Kudat, melibatkan Daerah Kudat merangkumi beberapa lembangan sungai utama termasuk Sungai Sikuati, Sungai Temalang, Sungai Sri Aman, Sungai Sinsan, Sungai Indrasan, Sungai Rampai, Sungai Bangau, Sungai Pomotodon, Sungai Loro dan Sungai Tegarangan.

PRABN berkata, kejadian banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat daripada tempoh yang dijangkakan, bergantung kepada keadaan hujan semasa.

Sehubungan itu, orang ramai khususnya penduduk di kawasan yang dijangka terjejas dinasihatkan agar sentiasa berwaspada, memantau perkembangan semasa dan mematuhi arahan pihak berkuasa serta agensi pengurusan bencana.

Maklumat terkini berkaitan keadaan banjir boleh diperoleh melalui laman rasmi Infobanjir di http://publicinfobanjir.water.gov.my atau aplikasi mudah alih MyPublicInfoBanjir. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Tindakan Petronas bawa isu minyak dan gas ke mahkamah cetus kebimbangan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular